Mampukah Skuad Harimau Kumbang Di Liga Super?

SAINGAN Liga Super 2016 bakal membuka tirai pada Sabtu ini, dan pastinya tempoh singkat itu akan digunakan sepenuhnya oleh 12 pasukan untuk perkemaskan skuad masing-masing.

 

Kehadiran dua  pasukan baharu dari Utara, Kedah dan Pulau Pinang  dalam saingan musim ini sudah tentu bakal memberi pelbagai persepsi terutamanaya tahap kekebalan mereka bertarung dengan pasukan-pasukan yang terus bertahan dalam liga utama Malaysia ini.

 

Berbeza dengan Kedah yang merupakan juara Liga Premier dan naib juara Piala Malaysia, pasukan Pulau Pinang bakal menjadi taruhan sama ada mampu atau tidak untuk bertahan selepas  kali terakhir bermain dalam Liga Super pada tahun 2010 sebelum tersingkir ke Liga Perdana.

 

Nasib pasukan bergelar Harimau Kumbang itu penuh berliku apabila hanya semusim beraksi dalam Liga Perdana (2011) dan tersingkir ke Liga FAM.

 

Pun begitu, mereka tidak pernah berputus asa, melakukan pelbagai usaha untuk mencari kembali ngauman  Harimau Kumbang  dan harapan itu akhirnya terlaksana apabila berjaya kembali ke Liga Perdana seterusnya melakukan percaturan terbaik sehinggalah  mereka berada dalam senarai pasukan Liga Super 2016.

 

Dengan peruntukkan RM19 juta musim ini, skuad Harimau Kumbang yang dibimbing jurulatih kelahiran Brazil, Jacksen. F. Tiago berganding bahu dengan pihak pengurusan cuba melengkapkan skuad pada tahap terbaik.

 

Dalam keghairahan mencari pemain-pemain import, Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang  (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff  mengakui pasukan tersilap pandang memilih pemain.

 

Jose Tadeu dari Brazil gagal menunjukkan prestasi terbaik dan terpaksa digugurkan beberapa hari sebelum jendela perpindahan pemain ditutup.

 

Biarpun masalah pemain itu sedikit mengganggu aksi perlawanan persabahatan sebelum ini, Nazir Ariff tetap yakin pasukan Pulau Pinang mampu mencapai sasaran untuk menduduki kelompok enam teratas dalam kempen Liga Super tahun ini.

 

Bagi menggantikan posisi Tadeu itu, Tiago menawarkan kontrak kepada bekas penyerang  import Perak Charles Souza Chad, juga dari Brazil dan semuanya berjalan lancar mencapai kata sepakat kedua-dua pihak.

 

Kemasukan Souza Chad ini pastinya mengurangkan tekanan kepada Tiago yang sebelum ini kelihatan gusar dengan barisan pemainnya biarpun dia mengakui jentera serangan yang ada sekarang sudah boleh diharap.

 

Jelas Tiago, kepercayaan yang diberikan kepada pemain import dan tempatan adalah seimbang.

 

“Saya tidak suka membuat perbandingan. Pemain tempatan dan pemain import sama penting dan memberikan kepercayaan yang sama rata. Tidak ada pilih kasih,”jelasnya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

 

Apa yang membanggakan, gandingan  tiga pemain muda dari skuad Harimau Muda Faizat Ghazli, S.Kumaahran dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew dilihat mampu menguatkan skuad Harimau Kumbang ini.

 

Malah dua gol garipada dua aksi persahabatan  bertemu Selangor dan Perlis sebelum ini dijaringkan oleh bintang muda, Jafri yang bijak menggunakan pengalamannya bersama skuad muda kebangsaan bersama pasukan negerinya ini.

 

Selain itu, ketua pasukan Muhamad Rafiuddin Roddin negakui gandingan pemain muda dan berpengalaman sudah cukup bersedia mengharungi cabaran dalam saingan Liga Super musim ini.

 

Rafiuddin yang bermain di bahagian pertahanan bakal diiringi dengan pemain import musim lalu Reinaldo Lobo serta pemain baharu dari Australia, Brent Griffiths, Fitri Omar, Azrul Ahmad, Mazlizam Mohamad serta Mat Saiful Mohamad.

 

Dalam pada itu, tumpuan di bahagian tengah pula terarah kepada seorang lagi pemain import baharu dari Alianza FC, Matias Cordoba serta bekas pemain Felda United Mohd Fauzan Dzulkifli dibantu Charles Chad dan Mohd Faiz Subri.

 

Bagi memastikan  Harimau Kumbang terus garang ketika beraksi PFA turut mempunyai lagu rasmi, ‘Harimau Kumbang, Mutiara Hati’ yang diterbitkan oleh Nazir Ariff dan penulis liriknya ialah Tan Sri Yussof Latiff.

 

Pulau Pinang bakal bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak bagi perlawanan pertama saingan Liga Super pada 13 Februari ini. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.