Isu Pekerja Asing: Bukan Kehendak Kerajaan Tapi Permintaan Pihak Industri, Dewan Perniagaan

PUTRAJAYA – Cadangan pengambilan seramai 1.5 juta pekerja Bangladesh untuk bekerja di negara ini bukan kehendak kerajaan sebaliknya atas permintaan pihak industri, persatuan dan dewan perniagaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemasukan pekerja asing ini juga bagaimanapun bukan secara serentak sebaliknya antara tempoh tiga hingga lima tahun bergantung permintaan.

 

“Pekerja asing yang akan dibawa masuk itu adalah mereka yang sudah berdaftar dengan kerajaan Bangladesh untuk tujuan pekerjaan.

 

“Kementerian Sumber Manusia akan memuktamadkan perincian perjanjian ini di Dhaka, Bangladesh pada 18 Februari dan akan ditandatangani selepas dipersembahkan kepada jemaah menteri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan dan Pengurusan Industri Halal Malaysia di sini, semalam.

 

Ahmad Zahid berkata, pekerja terbabit juga akan diberikan latihan dalam bidang yang akan diceburi contohnya sektor perladangan selain latihan silang budaya, perundangan dan tata etika di negara ini.

 

“Kita juga akan melakukan tapisan dari segi keselamatan termasuk memeriksa latar belakang pekerja dan juga aspek kesihatan,” katanya.

 

Pada masa sama beliau berkata, kerajaan akan memastikan bahawa keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan tetap didahulukan walaupun pengambilan pekerja asing tertakluk kepada permintaan industri bagi sektor-sektor yang dibenarkan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.