Himpunan Freemason Di Pulau Pinang Dibantah

KUALA LUMPUR — Seorang exco Pemuda Umno mendakwa satu pertemuan gerakan Freemason akan diadakan di sebuah hotel di Pulau Pinang kira-kira dua minggu lagi.

 

Armand Azha Abu Hanifah susulan itu menuntut kerajaan negeri dan parti-parti Pakatan Harapan menjelaskan kenapa perhimpunan 24 Februari ini dibenarkan.

 

Melalui blognya “Evolusi Anak Muda”, beliau juga menyeru badan-badan Islam bersatu bagi membantah pertemuan tersebut, yang dijangka diadakan selama lima hari.

 

Armand Azha, sebelum ini pernah memimpin sayap pemuda Perkasa, melampirkan beberapa dokumen dan gambar bagi menyokong dakwaannya itu.

 

“Ramai yang hubungi saya setuju bagi membongkarkan pertemuaan mereka ini dan walaupun saya dinasihatkan tidak mengacau kerana dikatakan gerakan mereka kuat dan besar,” tulisnya semalam.

 

“Tapi saya yang berpegang pada agama Islam dan berpandukan perjuangan 30 juz al-Quran rasakan ia harus dihentikan dan dibatalkan serta mohon pihak kerajaan negeri tersebut berikan penjelasan.”

 

Beliau mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan gabungan pembangkang memberikan penjelasan.

 

“Apa pendirian pemimpin-pemimpin serta penyokong-penyokong Pakatan Harapan terutama yang beragama Islam dalam PKR, Parti Amanah Negara, DAP dan PAS mengenai isu ini,” katanya lagi.

 

Di kalangan sebilangan aktivis dan umat Islam, Freemason dianggap pertubuhan sulit yang didalangi Yahudi untuk menyusun agenda mereka. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.