Zul Nafi Dirinya Sombong, Tolak Permintaan Yang Mengarut

Petaling Jaya – Pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin, 26, menafikan dia bersikap sombong sejak kebelakangan ini ekoran timbul desas-desus mengatakan dia sukar memberi kerjasama dengan sesetengah pihak.

 

Membidas dakwaan tersebut, Zul menyatakan sebagai seorang artis yang menguruskan hal kerjayanya sendiri tanpa bantuan pengurus, hampir setiap hari dia menerima banyak permintaan daripada pihak yang ingin mendapatkan khidmat lakonannya.

 

Namun, Zul mengakui ada beberapa permintaan dirasakanya terlalu mengarut dan tiada kena mengena dengan diri serta kerjayanya. Atas faktor itu, dia terpaksa berdiam diri dan mengambil langkah tidak membalas permintaan tersebut.

 

“Saya mendapat kiriman emel daripada banyak pihak berkaitan undangan dan ada yang mahu saya tampil di majlis dan acara mereka.

 

“Misalnya, ada yang minta saya tampil di acara mengenai perasmian kasut tumit tinggi wanita. Itu bukan kena-mengena dengan saya, takkan saya hendak muncul dalam acara sebegitu,” katanya kepada Malaysian Digest, kelmarin

 

Sementara itu, pelakon yang populariti semakin melonjak menerusi drama Rindu Awak 200% dan Istikharah Cinta menyedari dirinya semakin dikenali ramai impak dari lakonannya terutama dalam dua drama tersebut menganggap ia sebagai permulaan kerjayanya.

 

“Selama lebih kurang lima tahun saya berusaha untuk berada di tahap seperti ini. Bagi saya ini baru permulaan.

 

“Mungkin saya baru merasai peluang keemasan ini dan ramai lagi sebenarnya pelakon yang bagus-bagus cuma mungkin peluang keemasan itu belum datang lagi untuk mereka,” katanya.

 

Tambahnya, sejak namanya semakin popular, dia banyak berdepan pelbagai kerenah peminat yang disifatkan satu pengalaman baru antaranya sehingga kini masih ada peminat yang sanggup datang dari jauh ke lokasi penggambaran untuk melihatnya berlakon.

 

“Saya bukan rimas malah ia sikit sebanyak beri semangat pada saya buat yang terbaik. Namun, tidak perlu mereka setiap hari datang.

 

“Populariti yang saya kecapi ini kerana drama dan watak yang saya lakonkan. Ramai yang tergilakan watak saya dalam dua drama itu sebenarnya.

 

“Kalau saya beri inspirasi pada mereka, itu sudah cukup buat saya gembira,” katanya.

 

Zul kini sibuk menjalani penggambaran drama adaptasi novel berjudul Mr London Miss Langkawi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.