Waris Keluarga Mangsa MH370 Ugut Buat Protes Di Malaysia

Beberapa orang mendakwa sebagai waris keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, hari ini tiba di Malaysia dan berniat mahu mengadakan protes di luar pejabat MAS.

 

Tindakan itu ekoran mereka tidak berpuas hati tindakan kerajaan mengisytiharkan kehilangan pesawat itu sebagai satu kemalangan, memetik laporan Mstar Online.

 

Ibu kepada seorang mangsa, Weng Wang Chen, 63 berkata kumpulan itu mungkin akan menghabiskan lebih banyak masa di Malaysia walaupun terpaksa menyambut Tahun Baru Cina di sini untuk protes itu.
Mereka menuntut kerajaan memberikan penjelasan lanjut berkenaan apa yang sebenarnya berlaku ke atas pesawat berkenaan.

 

“Kami masih tertanya-tanya dan tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Pihak ahli keluarga mahu bercakap dengan mereka dan menggesa pihak berkuasa melakukan penyiasatan semula mengenai punca kehilangan pesawat itu,” katanya kepada pemberita.

 

120215WarisMH370_2

 

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam semalam.

 

Dia berkata, lebih ramai waris mangsa akan turut menyertai kumpulan itu.

 

Mereka mendakwa kerajaan China tidak telus dalam membantu dan kurang memberikan sokongan kepada waris keluarga mangsa yang terlibat.

 

Pada 29 Januari lepas, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dilaporkan mengumumkan pesawat MAS MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

 

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lalu.

 

Di laman twitter, media antarabangsa ada memuatnaik gambar kumpulan berkenaan yang mendakwa bertegas mahu berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS Ahmad Jauhari Yahya di sekitar kawasan Subang berhampiran pejabat MAS.

 

Mereka mendakwa dalam keadaan penat kerana kurang tidur dan masih tidak makan.

 

Kumpulan itu kemudian dilihat dibawa kakitangan MAS ke lapangan terbang di Subang Skypark untuk berehat. – MyNewsHub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.