PM Dijangka Melawat Jenazah Nik Aziz Esok

Kuala Lumpur -Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,dijangka akan turut meghadiri majlis pengkebumian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat esok sebagai tanda penghormatan terakhir.

 

Menurut sumber pejabat Perdana Menteri ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi, Perdana Menteri dijangka tiba esok pagi.

 

Manakala anakanda Allahyarham, Nik Mohamad Abduh memaklumkan solat jenazah akan di adakan pada jam 10.00 pagi esok di masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

 

“Semoga perjalanan tuan (dan) puan dari jauh dan dekat diberkati oleh Allah, harap patuhi segala arahan bagi mengekalkan keselesaan buat semua dan perjalanan ayahanda menuju tuhannya.

 

“Saya mohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan arwah bapa saya,” ujarnya ketika sidang media sebentar tadi.

 

Terdahulu Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Nik Aziz atas pemergian bekas Menteri Besar Kelantan itu, sebentar tadi.

 

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis ulang tahun ke-15 Yayasan Pendidikan Cheras selepas dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Beliau kemudian memimpin bacaan al-Fatihah dan mendoakan roh Allahyarham Nik Abdul Aziz dicucuri rahmat.

 

Mursyidul Am PAS itu meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, di sini, kira-kira jam 9.45 malam tadi.

 

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira satu jam sebaik tiba di rumahnya, selepas keluar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

 

Tinjauan mendapati suasana sedih menyelubungi kawasan kediaman Allahyarham Nik Aziz apabila orang ramai yang hadir gagal menahan sebak.

 

Orang ramai yang mula membanjiri kediaman Allahyarham sejak jam 9.30 malam, beratur untuk masuk ke kediaman Mursyidul Am PAS secara bergilir-gilir.

 

 

Biodata : DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

 

Tahun Lahir: 10 Januari 1931

 

Tempat Lahir: Pulau Melaka, Kelantan

 

Status: Berkahwin dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak dan memperolehi 10 cahaya mata (5 lelaki & 5 perempuan). Kesemua anak-anaknya mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama.

 

Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (3 Bulan) – 1936.

Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian.

Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu.

Universiti Deobond, India – 1952.

Lahore, Pakistan – Ilmu Tafsir Quran – 1957.

Universiti Al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.

Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.

 

Penguasaan Bahasa:

Melayu, Inggeris, Tamil, Urdu, Arab

 

Pekerjaan:

Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor.

Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka.

Penyelia Kelas Dewasa – KEMAS.

Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

 

Politik:

1967 – Daftar sebagai ahli PAS.

1967-1969 -Pilihanraya Kecil – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.

1969-1974 – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.

1974-1978 – Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa).

1978-1982 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

1982-1986 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

1986-1990 – Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan.

1990-2013 – Menteri Besar Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.