Perdana Menteri Terima Sumbangan RM10j Untuk Baiki Masjid, Surau Di Kelantan

PUTRAJAYA 11 Feb. – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima sumbangan RM10 juta daripada beberapa badan dan syarikat untuk Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan bagi membaik pulih masjid dan surau yang rosak akibat banjir baru-baru ini di Kelantan.

 

Majlis berlangsung di Bangunan Perdana Putra di sini dan turut dihadiri beberapa menteri kabinet termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Sumbangan disampaikan wakil badan dan syarikat antaranya Bank Islam Malaysia Bhd; Bank Rakyat; Felcra Bhd dan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Kalangan Penganut Agama.

 

Sementara itu, pengerusi tabung berkenaan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata tabung tersebut diwujudkan sejak 20 Jan lalu hasil inisiatif Biro Agama Umno Kelantan serta dipantau sebuah Jawatankuasa Pemegang Amanah untuk memastikan ketelusan pengagihan bantuan.

 

Beliau berkata banjir di Kelantan baru-baru ini yang dianggap terburuk dalam sejarah negara telah mengakibatkan 83 masjid dan 242 surau di negeri itu mengalami kerosakan teruk dan dianggarkan RM20 juta diperlukan untuk baik pulih termasuk membeli kelengkapan.

 

“Prinsip pengagihan tabung ini adalah bila dapat sumbangan terus bagi (kepada masjid dan surau) dan bukannya kumpul,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.