Penceroboh Lahad Datu Mengigil Lihat Anggota Paskal

Kota Kinabalu – Seorang tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu dilihat menggigil dan wajahnya pucat sebaik melihat kehadiran anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) di kampungnya, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

 

Pegawai Waran 2 Paskal Khirolrizal Ahmad, yang ketika itu bertugas di KD Sri Semporna sebagai Bintara Operasi, berkata pada 11 pagi 28 Mac 2013, di Kampung Simunul di Semporna, ketika beliau dan pasukannya mencari rumah suspek yang dikaitkan dengan pencerobohan dan pertempuran di kampung tersebut pada awal bulan itu, beliau melihat seorang lelaki berjalan mundar-mandir di hadapan sebuah rumah dipercayai rumah lelaki berkenaan.

 

“Perbuatan lelaki itu menimbulkan kecurigaan pada saya kerana belum ada lagi individu yang saya nampak berkelakuan seperti lelaki itu semasa kami membuat pemeriksaan di rumah-rumah di kampung itu,” katanya.

 

Khirolrizal, saksi pendakwaan ke-72, memberi keterangan pada hari perbicaraan ke-118, membabitkan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo di Lahad Datu yang mengejutkan negara dua tahun lepas.

 

Saksi tersebut berkata beliau melihat seorang wanita dipercayai isteri lelaki itu, yang berkelakuan sama seperti suaminya dan ada tiga lelaki di dapur rumah berkenaan.

 

“Saya memanggil lelaki tersebut (yang mundar-mandir) supaya menghampiri saya dan saya arah dia bawa saya masuk ke dalam rumah tersebut supaya saya boleh membuat tinjauan di dalam rumah,” katanya.

 

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Khirolrizal berkata lelaki itu membawanya ke rumah tertuduh, dan berhenti di bahagian luar   dapur, manakala ketiga-tiga lelaki itu berada di dalam dapur.

 

“Saya tidak masuk ke dalam (rumah). Sebaliknya, saya tanya dia, siapa tiga lelaki yang duduk di meja yang terhidang dengan makanan itu.

 

“Dia menjawab, tiga lelaki itu adalah pekerjanya,” katanya dan menambah ketiga-tiga lelaki itu yang sedang makan, juga kelihatan pucat dan menggigil sebaik melihat saksi di luar rumah.

 

Khirolrizal memberitahu mahkamah beliau bertanya pemilik rumah itu, di mana kad pengenalannya dan tertuduh berkata ada di dalam rumah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.