Pas Teliti Komplot Jatuhkan Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU 11 Feb. – Pas akan meneliti dan mengadakan perbincangan mengenai memorandum wujudnya komplot untuk menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepemimpinan ulama.

 

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penelitian terperinci akan dilakukan ke atas memorandum berkenaan yang diterima Isnin lalu bagi memastikan kesahihan dakwaan itu.

 

“Setakat ini kita belum beri sebarang respons secara rasmi. Kita ada terima memorandum dan penerimaan memorandum ini satu perkara biasa.

 

“Kita akan buat penelitian dan akan berbincang mengenainya, tengoklah sekiranya ada asas ataupun tidak. Yang penting bagaimana kita nak perkukuhkan Pas dan kepemimpinan Pas itu sendiri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Amal Media Bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Tok Jembal malam tadi.

 

Ahmad Samsuri diminta mengulas reaksi Abdul Hadi berhubung kewujudan komplot terancang dipercayai didalangi sekumpulan pemimpin kanan Pas untuk menjatuhkan Presiden Pas itu dan kepemimpinan ulama.

 

Dalam pada itu, ditanya sama ada Abdul Hadi akan terus mempertahankan jawatannya, Ahmad Samsuri menjelaskan, kedudukan pucuk pimpinan Pas itu bergantung kepada jumlah pencalonan di semua kawasan dalam parti. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.