Pas Kedah Mahu Anai-Anai Perosak Parti Disingkir

ALOR SETAR – Pas Pusat wajar menyiasat dakwaan wujudnya komplot mahu menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas kerana terdapat bukti asas yang boleh kaitkan dakwaan itu, yang didedahkan sekumpulan penyokongnya, Ahad lalu.

 

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, maklumat itu merupakan perbincangan dalaman pimpinan kanan parti, bukan tuduhan liar.

 

“Elok siasat (dakwaan) daripada membiarkan perkara itu makin parah berikutan kelicikan pihak tertentu yang benar-benar mahu singkirkan Hadi, termasuk memburukkan Setiausaha Agung (Datuk Mustafa Ali) dan Majlis Syura Ulama. Penyokong terbabit hanya mendedahkan maklumat, jangan membisu kepada kelicikan kumpulan lain yang sering dilihat membuat onar dalam parti,” katanya, sinis.

 

Katanya, maklumat didedahkan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim berserta akuan berkanun, termasuk bukti perbualan dari aplikasi WhatsApp bukan perkara remeh.

 

“Sebelum diadakan pemilihan, elok jika anai-anai perosak yang cuba porak-perandakan parti termasuk mahu singkirkan Hadi, terlebih dahulu disingkirkan,” katanya.

 

Katanya, siasatan juga perlu terhadap individu atau kumpulan yang dikaitkan dengan gerakan terbabit.

 

“Ini bukan budaya Pas. Ia menular secara licik dan senyap sejak Pas dapat sambutan selepas tahun 1999,” katanya.

 

Tambahnya, bukan sahaja wujud gerakan menjatuhkan Abdul Hadi, tetapi gerakan menentang sesiapa sahaja dalam parti yang tidak sealiran atau tidak boleh diarah.

 

“Pas Kedah adalah mangsa awal kumpulan ini. Selepas cubaan menjatuhkan Allahyarham Ustaz Azizan Abd Razak dan menguasai Pas negeri gagal, mereka cetuskan perbalahan serta tubuhkan NGO. Tercetuslah perbalahan melalui adu domba, yang disifatkan munafik dalam gerakan Islam,” Muhammad Sanusi yang juga Bekas Setiausaha Politik Azizan berkata, tidak dinafikan perbalahan dengan Azizan hingga berlakunya krisis exco adalah agenda kumpulan ini.

 

“Siasat siapa lagi di belakang gerakan itu, jangan tunggu hingga parah! Sudah tiba masa, Pas perlu bebas daripada anasir anai-anai perosak,” katanya.

 

Tegasnya, siasatan juga perlu terhadap kaitan kumpulan terbabit dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), berikutan NGO itu disebut sebagai sebahagian daripada komplot itu.

 

“Kenapa Pasukan Gerak Saraf (PGS) bawah Jabatan Pilihanraya Pas Pusat membantu promosikan aktiviti Pasma, sedangkan Majlis Syura meminta sebaliknya? Ini gerakan jahat melibatkan pemimpin tertentu,” katanya.

 

Muhammad Sanusi berkata, jika semua maklumat didedahkan palsu, pihak yang difitnah boleh ambil tindakan perundangan untuk membersihkan nama mereka.

 

“Perwakilan dari seluruh negara akan adakan pemilihan dalam masa terdekat. Apa jaminan calon yang bertanding bebas daripada percaturan kumpulan itu. Kita bimbang wujud gerakan untuk merosakkan Pas dari dalam,” katanya.

 

Katanya, lebih baik kumpulan itu berperang dengan Umno, daripada melaga-lagakan sesama ahli, serta mencetuskan kacau-bilau untuk tolak kepimpinan ulama.

 

“Namun saya yakin Pas tetap kukuh selagi berpegang kepada perjuangan Islam sebagai teras dan matlamat. Anasir licik seperti itu wujud sejak zaman awal Islam dan akan berlaku hingga kiamat. Ahli Pas wajib berpegang kepada Islam dipandu ilmu para ulama. Pasti ahlinya tidak rela parti ini menjadi sekular pragmatis seperti sekutunya dalam PR,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.