Nurul Izzah Tuntut Kebebasan Demokrasi, Kehakiman Dan Pilihan Raya

KUALA LUMPUR, 11 Feb: Nurul Izzah Anwar menggesa semua pihak supaya meneruskan perjuangan bapanya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membebaskan demokrasi, kehakiman dan pilihan raya di negara ini daripada dicengkam mana-mana pihak.

 

Nurul Izzah yang merupakan seorang Naib Presiden PKR berkata demikian setelah Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan untuk menolak rayuan Anwar dalam kes liwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun.

 

“Sudah sampai masanya kita bawakan perjuangan menuntut kebebasan kepada dunia bahawa demokrasi, kehakiman dan pilihan raya kita telah dipenjarakan – usaha berterusan demi semua rakyat Malaysia.

 

“Kami yakin dengan kebenaran ini kerana sejarah dan peristiwa-peristiwa terkini terutamanya di Sri Lanka menunjukkan bahawa kemaraan kebebasan dan kebangkitan rakyat akhirnya akan berjaya.

 

“Oleh itu, hari ini bagi mereka yang merasakan kekuasaan dan kekayaan yang dibina dari penindasan dan ketidakadilan boleh kekal selama-lamanya wajib sedar masa mereka sudah tamat.

 

“Kami akan terus berjuang, terus mara dan tidak akan menyerah kalah demi Malaysia yang lebih baik,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

 

Nurul Izzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menegaskan bahawa  Anwar dimasukkan ke penjara kerana bapanya itu merupakan “ancaman terbesar” kepada parti Barisan Nasional (BN) iaitu Umno yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Penganiayaan politik terhadap Anwar Ibrahim menerusi badan kehakiman berlaku kerana beliau merupakan ancaman nombor satu kepada kekuasaan UMNO.

 

“Kes ini bukan sahaja mengenai Anwar Ibrahim tetapi dunia harus tahu bahawa terdapat penganiayaan yang jauh lebih besar dan tersusun yang sedang berlaku di Malaysia.

 

“Dunia perlu tahu bahawa suara-suara kebebasan sedang dianiaya menggunakan undang-undang keji zaman penjajah sementara puak ekstremis dan isu perkauman dimainkan serta dilindungi.

 

“Dunia perlu tahu di Malaysia tiada kebebasan media. Dunia perlu tahu di Malaysia tiada pilihanraya bebas dan adil.

 

“Kita perlu tunjukkan kepada dunia bagaimana hak-hak asas demokrasi untuk pilihanraya terus dimusnahkan menerusi penindasan hak pengundi dan proses persempadanan yang tempang,” tegas Nurul Izzah. – MalaysiaTimes

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.