Nicol Kekal Nombor Satu

KEJAYAAN ratu skuasy dunia, Datuk Nicol David mengecap pelbagai koleksi kejuaraan di peringat antarabangsa menaikkan namanya setanding dengan pemain lain khususnya dalam bidang sukan.

 

Kemenangan demi kemenangan diraih di gelanggang pertarungan membolehkan anak jati kelahiran Pulau Pinang itu berjaya mengekalkan ranking nombor satu dunia yang dipegangnya sejak beberapa tahun lalu.

 

Uniknya, Nicol membanggakan Malaysia dan mencipta rekod dunia yang baharu apabila menjadi pemain paling lama berada di anak tangga nombor satu mempertahankan kedudukannya selama 106 bulan.

 

Senarai ranking dunia yang dikeluarkan Persatuan Skuasy Wanita (WSA) baru-baru ini, menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu berjaya mengekalkan kedudukan tersebut sejak Januari 2006.

 

Atasi rekod Susan Devoy

 

Mungkin tidak ramai tahu bahawa Nicol mengatasi rekod dilakar juara dunia empat kali dan pemenang lapan kali Terbuka Britain, Susan Devoy dari New Zealand yang pernah menghuni ranking nombor satu dunia selama 105 bulan yang dicatatnya pada Februari 1993.

 

Namun begitu, dia akui bukan mudah bagi mencapai impian kerana banyak kerja rumah perlu dilakukan termasuk sibuk memikirkan cara bagaimana mahu mempertahankan apa yang dimiliki pada setiap hari.

 

“Menjadi nombor satu memerlukan kerja keras. Bagi saya, ia berkaitan bermain dalam kejohanan, yang lain merupakan bonus,” kata Nicol kepada laman web www.squashsite.co.uk.

 

Tingkat imej skuasy di mata dunia

 

Menurut Ketua Eksekutif WSA, Tommy Berden, pencapaian Nicol meletakkannya dalam kalangan atlet terhebat dalam sejarah dan meningkatkan taraf sukan skuasy itu sendiri.

 

”Untuk menjadi pemain nombor satu dunia adalah unik dan memerlukan persembahan luar biasa, tetapi untuk memegang tangga teratas selama 106 bulan adalah menakjubkan,” kata Berden.

 

Bulan ini turut menyaksikan Nicol mengekalkan ranking kejuaraan hingga 103 bulan sejak Ogos 2006, 45 bulan mengatasi Devoy.

 

Nicol kini memungut 3,446 mata sementara pemain Mesir, Raneem El Welily selaku pemain nombor dua dunia mengumpul 2,580 mata diikuti pemain dari England, Laura Massaro dengan 2,145 mata. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.