Marcos Rojo Tak Senang Duduk

Di saat Marcos Rojo meniti kariernya di Manchester United, nyawa keluarganya di Argentina pula berdepan bahaya apabila menjadi sasaran kumpulan samseng.

 

Kumpulan penjenayah terbabit dikatakan mengacukan pistol kepada ibu pertahanan United itu manakala bapanya turut dipukul kerana mahu mendapatkan wang hasil gaji pemain itu yang dilaporkan sebanyak £200,000 (RM1.09 juta) seminggu.

 

Bintang Argentina itu menyertai United dengan kontrak bernilai £16 juta (RM87. 2 juta) musim panas lalu, namun populariti dan glamor yang dikecapinya tidak dirasai keluarganya yang hidup dalam serba kemiskinan.

 

Anak angkat Rojo serta adik perempuannya, Sol, berusia sembilan tahun turut diugut kumpulan samseng di rumah mereka di La Plata, sebuah bandar kecil berhampiran Buenos Aires.

 

Noelia, adik perempuan pemain berusia 24 tahun itu membuka mulut mengenai ugutan itu dan memberitahu mereka sentiasa hidup dalam ketakutan.

 

“Kami sentiasa ketakutan. Kerana Marcos, kami menjadi sasaran mereka,” katanya.

 

“Mereka tahu rumah kami, semua orang tahu. Kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan kami tidak menjawab panggilan daripada sesiapapun di pintu.

 

“Kami perlu meletakkan palang di semua tingkap, di bahagian depan belakang dan pintu di tingkat atas. Menjadi keluarga Marcos Rojo adalah sesuatu yang berbahaya, tetapi kami tidak akan meninggalkan rumah ini kerana inilah rumah kami.”

 

Bekas bintang Sporting Lisbon itu meluahkan kemarahannya di media sosial berhubung insiden itu dan meminta polis menahan mereka yang bertang­gungjawab.

 

“Mereka pukul bapa saya, mengacu pistol kepada ibu, adik dan anak angkat saya yang baru berusia setahun. Saya mahu lihat apa yang mereka lakukan. Saya benci semua ini.”

 

Abang Rojo, Franco mengesahkan adiknya memberi bantuan kewangan untuk membantu ahli keluarga, tetapi itu mendorong kumpulan penjenayah untuk memeras ugut mereka.

 

“Marcos memberi bantuan kewangan kepada seluruh keluarga,” katanya.

 

“Ini bermakna kami boleh berpindah ke rumah baru. Dia menyelamatkan kami semua. Terlalu banyak rompakan, pergaduhan, malah kematian.

 

“Bola sepak adalah penyelamat hidupnya. Dia bermain bola sepak sejak kecil lagi. Dia sentiasa bermain bola sepak, siang dan malam.

 

“Ibu bapa saya memberikan segala-galanya untuk membantu Macos menjadi pemain bola sepak. Dia sentiasa berlatih dan mereka memastikan dia tidak terlepas satu sesi pun. Mereka tahu dia mampu membawa kami keluar dari kediaman kami sekarang.”

 

Rojo menyertai kelab tempatan, Estudiantes pada usia 10 tahun dan berjaya meletakkan dirinya dalam kesebelasan utama apabila tampil di final Piala Kelab Dunia 2009, yang menyaksikan mereka tewas kepada Barcelona.

 

Pertahanan serba boleh itu kemudian menyertai Spartak Moscow pada tahun berikutnya, tetapi hanya menyertai kelab Russia itu selama 18 bulan sebelum menyertai Sporting Lisbon.

 

Aksinya di Portugal menarik perhatian United dan mereka membelanjakan sejumlah wang untuk membawanya ke Old Trafford musim panas lalu.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.