Kebebasan Dan Toleransi Masih Dipupuk Di Malaysia – Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Kebebasan dan toleransi di Malaysia masih dalam keadaan baik walaupun ada sesetengah pihak yang lantang dan memperbesarkan isu berkaitan diskriminasi, ujar mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sebuah forum khas bertajuk The Malaysian Dilemma anjuran Centre For A Better Tomorrow (CENBET) dengan sokongan Pusat Pengajian Polisi Awam (CPPS) di ibu negara hari ini.

 

“Tunku Abdul Rahman dahulu percaya pada konsep perkongsian. Itulah yang menjadi dasar hala tuju negara ini,” kata Tun Mahathir yang mengimbas kekuatan perpaduan antara kaum yang menjadi formula pengasasan Malaysia.

 

Negara ini, menurut beliau, masih dalam keadaan baik, walaupun sesekali berlaku perselisihan pendapat tentang sesuatu perkara.

 

“Ada pihak meminta, mendesak atau mempertikaikan sesuatu berkaitan hak, dan ia akan dibalas pula oleh kumpulan ektremis yang lain. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan berlanjutan,” kata beliau.

 

Menurut Tun Mahathir, kumpulan ekstremis di negara ini banyak yang bercakap dari sudut perkauman sedangkan pentadbiran negara ini berjalan baik melalui pelbagai sebab lain.

 

“Hakikatnya, kumpulan ekstremis adalah minoriti. Di mana-mana pun juga ekstremis adalah minoriti. Malah IS (militan Negara Islam) juga adalah minoriti yang berdepan dengan masyarakat dunia.

 

“Mereka yang bersikap ekstremis ini perlu dikekang. Jika tidak, mereka akan menjadi dominan dan boleh menjejaskan urus tadbir negara,” ujar beliau.

 

Pada masa yang sama, Tun Mahathir menyeru golongan yang mengambil sikap bersederhana agar lebih vokal menyatakan pendirian mereka supaya dapat mengimbangi pandangan golongan ektremis.

 

“Golongan sederhana ini membentuk kumpulan majoriti tetapi selama ini mereka banyak berdiam diri dan tidak memberi maklum balas pada perkembangan yang berlaku,” kata beliau.

 

Tambah Tun Mahathir, Malaysia tidak boleh ditadbir mengikut acuan negara lain kerana itu sukar dilaksanakan.

 

“Kita ada tiga kaum utama dan 29 lagi etnik di negara ini. Akan ada banyak perkara yang akan dibangkitkan mengikut keperluan sesuatu kaum.

 

“Yang utama adalah kita perlu menjaga hubungan dan kepentingan setiap daripada kaum yang ada,” kata beliau yang mengharapkan negara ini terus bersatu, maju dan makmur untuk tahun-tahun mendatang. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.