Jackie Chan Janggal Dipanggil Datuk

PELAKON terkenal Hong Kong, Datuk Jackie Chan mengakui masih berasa janggal dengan gelaran Datuk yang diterima pada Hari Wilayah Persekutuan.

 

Ujar aktor berusia 60 tahun ini, dia hampir terlupa bahawa sudah bergelar Datuk dan berasa janggal apabila disapa dengan panggilan Datuk sejak tiba di Malaysia pagi tadi (semalam).

 

“Sejujurnya saya memerlukan sebulan dua lagi untuk membiasakan diri dengan panggilan tersebut dan saya sangat hargai apabila dikurniakan gelaran Datuk.

 

“Lucunya, saya rasa janggal apabila orang memanggil saya dengan panggilan Datuk apabila tiba di sini pagi tadi. Tapi saya tidak kisah sama ada orang mahu memanggil saya dengan panggilan Datuk atau tidak,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media filem terbaru lakonannya, Dragon Blade.

 

Turut hadir dalam sidang media itu adalah barisan pelakon Dragan Blade, yang terdiri daripada pelakon terkenal Hollywood; John Cusack dan Adrien Brody, bersama bintang K-Pop, Choi Siwon, berserta dua pelakon cina, Ling Peng dan Mika Wang.

 

Tambah Jackie lagi, dia juga tidak kisah andai masih ada yang memanggilnya dengan gelaran taiko (abang) seperti kebiasaannya.

 

“Datuk pun ok, taiko pun ok. Tapi kalau panggil taiko, lagi saya suka kerana panggilan itu lebih lama dan lebih dekat dengan saya,” jelasnya.

 

Sebelum memulakan sesi sidang media, Chan atau nama sebenarnya Chan Song Kang  sempat menegur wakil media dengan memberi salam dan bertutur dalam bahasa Melayu.

 

Pada 1 Februari lalu, Jackie Chan menerima anugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah.

 

Filem Dragon Blade merupakan filem terbitan kerjasama dua negara, Korea dan China. Naskah ini berlatar belakang zaman Dinasti Han. Ia mengisahkan pengembaraan Komander Huo An bertemu Putera Roman.

 

Filem Dragon Blade dijadualkan berada di pawagam pada 19 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.