InvestKL & 47 MNC Ikat Perjanjian Melabur

Putrajaya: InvestKL mengikat perjanjian dengan 47 syarikat multinasional (MNC) untuk melabur di Greater Kuala Lumpur membabitkan pelaburan berpotensi RM4.2 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Amanshah berkata, pihaknya kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 100 MNC menjelang 2020.

 

“Dengan jumlah pelaburan berpotensi itu, ia dijangka mewujudkan 6,312 pekerjaan serantau di mana 2,598 daripadanya sudah diisi oleh rakyat tempatan, manakala 466 pekerjaan lagi diisi ekspatriat.

 

“Sasaran untuk mencapai 100 MNC melabur di Greater KL dijangka dapat dicapai memandangkan sehingga kini terdapat 47 syarikat sudah menyatakan persetujuan,” katanya.

 

Menurutnya, kemasukan lebih banyak MNC ke negara ini mengukuhkan lagi sasaran menjadikan kawasan pertumbuhan ekonomi itu sebagai pilihan syarikat berstatus Fortune 500 atau Forbes Global 2000 untuk dijadikan hab operasi serantau.

 

“Daripada jumlah pelaburan berpotensi RM4.2 bilion setakat tahun lalu, 24 peratus direalisasikan, manakala 6,312 pekerjaan yang bakal diwujudkan pula kira-kira 49 peratus diisi setakat ini,” katanya pada taklimat media InvestKL di sini, semalam.

 

Tahun lalu, InvestKL menarik 14 MNC untuk menubuhkan ibu pejabat di Greater KL melepasi sasaran awal 13 syarikat yang ditetapkan pada 2014. Antara 14 MNC itu, Hobsons, Cameron, Valmont, Zurich, SPIE, Indra Sistemas, Saipem dan Codemaster.

 

Sejak Julai 2011 hingga Januari 2015, InvestKL antara lain menarik beberapa nama besar termasuk Schlumberger, Cargill, Linde, Clariant, Epson Precision, Hitachi Systems, Toshiba, Agusta Westland, IBM dan Aecom.

 

Bagi tahun ini, Zainal berkata, InvestKL menyasar menarik 15 MNC ke Greater KL bagi menjadikan negara ini sebagai ibu pejabat serantau syarikat, pusat operasi dan pengurusan rantaian bekalan di rantau ini, disokong insentif bagi hab prinsipal yang diumumkan dalam Bajet 2015. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.