Hubungan Cinta Fathia-Aiman Kembali Pulih

Petaling Jaya – Pelakon jelita, Nur Fathia Latiff, 26,  mengesahkan hubungan cintanya dengan pelakon tinggi lampai, Aiman Hakim Ridza sudah kembali pulih sejak dua minggu lalu.

 

Akui heroin drama Ariana Rose ini, awal bulan lalu dia dan kekasihnya itu ada bergaduh gara-gara sedikit perselisihan faham sehingga menyebabkan hubungan mereka menjadi keruh selama dua minggu.

 

Namun, selepas bertemu dan berbincang, dia dan Aiman nekad mahu menjalinkan kembali hubungan cinta mereka yang sebelum ini dibina selama dua tahun.

 

“Saya sangat sayangkan dia (Aiman). Dalam hubungan ini biasalah, ada pasang surutnya dan kami ada bergaduh kerana sedikit salah faham.

 

“Tapi, selepas kami berbincang dan menyelesaikan masalah itu semuanya kembali jernih. Kami sangat sayangkan hubungan ini.

 

“Dua tahun kami bercinta dan saya pula bukan seorang yang suka main-main dalam sebuah hubungan. Jadi, sekarang kami sudah okay,” katanya ketika ditemui pada sidang media Drama Festival (DFKL2015) di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

 

Fathia bersama pelakon Zul Ariffin dipilih sebagai duta utama DFKL 2015 manakala Nora Danish dilantik sebagai duta media sosial.

 

Dalam pada itu, Fathia menyatakan mungkin kesibukan dia dan Aiman menjadi punca timbulnya perselisihan faham antara mereka sebelum ini.

 

“Mungkin sebab kami masing-masing sibuk dan apabila terjadi satu-satu hal tu, masing-masing rasa tertekan akhirnya bergaduh.

 

“Namun, kami sekarang berpegang pada prinsip mempercayai antara satu sama lain. Bukan kata selama ini tidak percaya cuma mungkin ketika itu masing-masing tengah tertekan ditambah pula fikir tentang hal kerja,” katanya yang beberapa minggu lalu mengejutkan ramai peminat mereka apabila mengumumkan sendiri hubungannya dengan Aiman sudah berakhir.

 

Kata Fathia, dia juga terharu dengan sokongan peminat termasuk ramai yang menghantar mesej dan komen mendoakan agar dia dan Aiman kembali menjalinkan cinta semula.

 

“Saya terharu bila ramai yang komen di Instagram saya sambil memberi mesej positif dan mendoakan supaya hubungan kami kembali pulih”, tuturnya sambil tersenyum.

 

Mengenai perkembangan kerjaya pula, Fathia bakal sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri terbaru berjudul Dia Isteri Luar Biasa. Drama adaptasi novel ini turut menampilkan Keith Foo dan Syukri Yahya dan akan ditayangkan di TV3.

 

“Sekarang saya tengah buat persediaan, tengah baca novel dan akan mulakan penggambaran tidak lama lagi.

 

“Saya suka watak kali ini sebab karakternya seorang perempuan yang anti lelaki tetapi dia mahukan anak. Ada banyak yang menarik dan saya suka dalam cerita ini,” katanya dengan nada teruja.

 

Selain itu, dia bersama Zul Ariffin dan Nora Danish akan terlibat mempromosikan DFKL2015 melalui laman sosial, turut serta di sesi jelajah, bengkel dan Malam Anugerah DFKL2015. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.