Guling Hadi: Dakwaan Pemuda Pas Kuantan Perlu Diambil Serius

KUALA TERENGGANU – Kepimpinan Pas perlu ambil serius dakwaan Pemuda Pas Kuantan berhubung komplot pemimpin di peringkat Pas Pusat untuk jatuhkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, dakwaan Pemuda Pas Kuantan itu bukan satu tuduhan ringan kerana ia dibuat secara akuan berkanun dan bukti daripada ‘print screen’ aplikasi Whatsapp yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.

 

“Saya anggap laporan dibuat secara bersungguh dengan akuan berkanun.. jadi, pemimpin perlu tengok laporan itu secara bersungguh.

 

“Kalau benar, ambil tindakan disiplin dan kalau palsu, orang yang buat tuduhan itu perlu diambil tindakan disiplin, tidak boleh biar,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas dakwaan dibuat Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim berhubung komplot jahat gulingkan Abdul Hadi.

 

Ditanya mengenai penafian Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengenai perkara itu, Azman menjelaskan berkemungkinan maklumat tersebut tidak sampai kepada pihak terlibat pada waktu itu menyebabkan Mustafa dan Salahuddin menafikan perkara berkenaan.

 

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya laporan mengenai perkara itu telah sampai kepada pihak kepimpinan, penyiasatan perlu dilakukan untuk memastikan kesahihan.

 

Dalam masa sama, Azman berkata, walaupun timbul isu pemimpin tidak bersetuju dengan Abdul Hadi, tidak dapat dinafikan ada yang menyokong kuat Presiden Pas dan situasi begitu tidak dapat dielakkan.

 

“Orang tidak setuju dengan presiden tetap ada.. untuk cari orang suka kita 100 peratus tidak ada,” katanya.

 

Beliau percaya, sejak dahulu sudah wujud pihak yang tidak sokong kepimpinan, namun perkara itu tidak ketara berikutan tiada peralatan canggih sebagaimana diguna pada hari ini seperti media baharu yang menjadi medium untuk menghentam dan mendapatkan pengaruh bagi menyokong tindakan sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan pendirian kepimpinan.

 

“Dulu tidak nampak sebab tidak ada kemudahan sekarang terserlah seperti memperlekeh Tuan Guru Presiden.

 

“Dalam keadaan begini, ada yang setia dan ini berlaku jawab menjawab sehingga keluar perkataan kasar antara satu sama lain, tetapi fakta sama ada benar ada komplot itu atau tidak, saya tidak boleh pastikan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.