Dr Mahathir Kata 1MDB ‘Syarikat Miskin’

Kuala Lumpur – Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya diwujudkan kerana melambangkan syarikat yang miskin.

 

Katanya sekiranya masih menjadi perdana menteri Malaysia, syarikat seperti 1MDB tidak akan ada.

 

“Kita tidak perlu ada langsung 1MDB. Itu bukan duit kita, kita pinjam bank. Sekarang kita hutang duit dengan bank. Itu bukan kaya, saya tidak akan ada 1MDB, mudah,” kata bekas perdana menteri itu pada forum anjuran Centre for a Better Tomorrow di Kuala Lumpur, hari ini.

 

Mengambil contoh “ceti” ketika zaman sebelum merdeka, peminjam akan berhutang dengan ceti, dan menggunakan duit yang bukan milik mereka.

 

“Adakah kita pinjam daripada ceti, kita kaya? Tidak, itu duit ceti,” katanya.

 

Dr Mahathir turut menegaskan, seorang penjawat perlu meletakkan jawatan jika orang berpandangan beliau tidak melaksanakan tugas dengan baik.

 

“Tiada sesiapa yang mendesak apabila saya melepaskan jawatan, kerana saya rasa 22 tahun (pentadbiran saya) itu cukup lama.

 

“Jika orang (rakyat) berkata anda tidak bagus dan tidak menjalankan tugas dengan baik, sila letak jawatan,” katanya menjawab soalan salah seorang peserta forum The Malaysian Dilema, di sini.

 

Dr Mahathir mengaku beliau juga bukannya seorang yang baik dalam memilih penggantinya kerana tidak boleh menjangka sama ada penggantinya yang dipilih itu baik atau tidak sebelum mendapat kuasa.

 

“Rakyat masa ini boleh menilai sendiri sama ada mereka bagus atau tidak. (Sama ada) Najib telah melakukan tugas dengan baik atau tidak, saya tak pasti,” katanya lagi.

 

Ujarnya, beliau akan menyokong jika pemimpin negara itu melakukan perkara yang betul dan baik.

 

“Jika baik saya akan sokong, kalau salah saya akan cakap tak betul,” tegas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.