Degil, Tak Pernah Insaf Ulangi Jenayah Sama

Meskipun sebelum ini sudah beberapa kali dipenjarakan kerana kesalahan pecah rumah, dua sahabat ini tidak pernah insaf apabila mengulangi jenayah sama dengan memecah masuk kediaman seorang jurutera, di Kampung Baru, Kerteh, Kemaman, 31 Januari lalu.

 

Kedua-duanya yang berusia 36 dan 37 tahun ini berjaya ditangkap berhampiran lokasi kejadian, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

 

Menurut sumber, kejadian hanya disedari mangsa, 48, kira-kira jam 7 petang, selepas pulang dari kerja apabila dapati bilik tidur utama dan anaknya dalam keadaan berselerak.

 

“Yakin kediamannya dipecah masuk, mangsa seterusnya  buat pemeriksaan selanjutnya sebelum berjaya mengenal pasti beberapa barang berharga miliknya telah hilang.

 

“Ia termasuk komputer riba dan wang berjumlah RM500. Susulan itu, mangsa terus buat laporan di balai polis berhampiran,” jelasnya.

 

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek telah memecah masuk kediaman berkenaan melalui lubang angin tandas di salah sebuah bilik anak mangsa.

 

Hasil laporan, polis berjaya tahan kedua-dua suspek di sebuah taman perumahan berhampiran lokasi kejadian, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan terima laporan kejadian dan tangkapan kedua-dua suspek.

 

Jelasnya, turut dirampas bersama suspek peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kerja pecah rumah iaitu termasuk sebilah pisau panjang; pemotong besi; pahat dan playar.

 

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah,” katanya. – SInar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.