AMK PKR Mahu Bawa Isu Anwar Ke PBB

PETALING JAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak menolak untuk membawa usul solidariti kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke peringkat masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Pengarah Strateginya, Akmal Nasir bagaimanapun berkata pihaknya akan berbincang dengan kartunis Zulkiflee SM Anwar UlHaque sebaik sahaja dia dibebaskan daripada tahanan polis.

 

“Saya rasa sekarang ini parti sendiri tengah usahakan, kalau kita tengok semalam ada sidang media oleh anak-anak Datuk Seri Anwar mereka lancarkan March to Freedom, usaha itu secara tidak langsung merayu kepada masyarakat antarabangsa.

 

“AMK tidak tolak kemungkinan tersebut malah peguam yang mewakili Zunar ialah seorang Exco AMK dan beliau sendiri telah berhubung dengan media antarabangsa seperti New York Times dan The Guardians.

 

“Kalau perlu kita akan bincang dengan Zunar sekiranya kita boleh bawa kes ini lebih jauh ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian mengulas kemungkinan PKR akan menggunakan peluang yang diberikan kepada Zunar untuk berucap di PBB di Gevena pada 6 Mac depan untuk membawa isu Anwar ke peringkat antarabangsa.

 

Sebelum ini, Zunar dikatakan dijemput sebagai seorang ahli panel dalam forum bertajuk ‘Defending artistic expression – time for the UN to act’ (Hak Expresi Seniman – Masa untuk PBB bertindak) yang akan diadakan di Palais des Nations, PBB, Geneva.

 

Portal berita rasmi PKR, Keadilan Daily melaporkan, Zunar akan mengambil kesempatan itu untuk menggesa PBB bertindak menjamin kebebasan berkarya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.