Polis Tubuh Badan Khas Siasat Kes Cubaan Bunuh MP Myanmar di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Polis Kuala Lumpur menubuhkan sebuah badan khas bagi menyiasat kes cubaan membunuh dengan menembak anggota Parlimen dari Myanmar Dr Aye Maung di Bukit Bintang, di sini Rabu lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata badan khas itu yang diketuainya sendiri ditubuh bagi menyiasat kes itu yang dilihatnya mempunyai kaitan dengan masalah politik di Myanmar.

Beliau berkata badan itu sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa bukti termasuk kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sepanjang perjalanan Aye Maung bersama-sama Pengerusi Parti Arakan Liga Demokrasi, Aye Thor Aung dan tiga lagi warga Myanmar dalam kejadian 11.30 malam itu.

“Kita juga sedang siasat untuk melihat sama ada kes cubaan tembak ini ada kaitan dengan kes bunuh yang berlaku melibatkan warga Myanmar di Ampang sehari sebelum kejadian itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang mendapatkan bantuan pihak kedutaan Myanmar untuk membantu siasatan kes itu.

Khairi berkata empat daripada lima warga Myanmar yang berada di dalam kereta itu telah pulang ke negara mereka sehari selepas kejadian dan seorang lagi yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) masih berada di negara ini.

Dalam kejadian itu, dua lelaki bermotosikal dipercayai bersenjatakan pistol melepaskan enam das tembakan ke arah kereta dinaiki Aye Maung di Jalan Alor, Bukit Bintang, ketika mereka dikatakan baru meninggalkan Plaza Low Yat.

Aye Maung merupakan pengerusi sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan Myanmar untuk menyiasat insiden rusuhan etnik di Rakhine.

x– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.