Peluang Kedua Untuk Syamim – Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Feb  — Pemain hoki remaja kebangsaan, Mohamad Syamim Mohd Yusof diminta memikirkan semula keputusan menarik diri dari skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah serta persediaan ke pentas Piala Dunia pada Mei depan.

Presiden Konfiderasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata beliau amat terkejut dengan keputusan yang diambil pemain itu kerana melihat Mohamad Syamim adalah antara pemain muda berbakat besar dalam sukan hoki negara.

“Saya harap dia (Mohamad Syamim) dapat fikir semula. Hendak berehat, berehatlah dahulu tapi jangan terus meninggalkan sukan hoki.

“Mungkin dia berasa terlalu letih agaknya, yang membuatkan dia berfikir untuk tarik diri. Saya bagi peluang kedua kepada Syamim,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC di sini Selasa.

Mohamad Syamim, 21, mengejutkan kem hoki kebangsaan apabila mengumumkan untuk menarik diri dari skuad kebangsaan kerana terkilan dengan laporan sebuah media elektronik berikutan ketidakhadirannya ketika latihan skuad kebangsaan baru-baru ini.

Sementara itu, akhbar hari ini pula melaporkan, selain Mohamad Syamim, Harvinder Singh, Azreen Rizal dan Engku Abdul Malek turut menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Selain masalah penarikan diri, skuad hoki kebangsaan juga berhadapan masalah kecederaan apabila pakar pukulan sudut penalti Mohamed Razie Rahim, yang mewakili Dabur Mumbai Magicians, tercedera ketika beraksi dalam Liga Hoki India awal bulan ini.

Sementara itu, Tengku Abdullah meminta agar semua pemain hoki yang dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan memberikan sepenuh komitmen dalam usaha mengembalikan kegemilangan skuad hoki di persada antarabangsa.

Katanya, kejayaan skuad remaja pada Piala Dunia Remaja di New Delhi, Disember lepas patut menjadi motivasi kepada semua pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan untuk mengangkat martabat hoki negara.

“Saya harap tidak ada berbelah-bahagi, kena ada komited apabila dipanggil untuk mewakili negara. Kita akan beraksi di Piala Dunia dan ini satu lembaran baharu untuk pemain hoki kita. Kebanyakan pasukan luar sudah mula menghormati kita,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-23 yang akan berlangsung pada 13 hingga 23 Mac depan, Tengku Abdullah berkata beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah untuk menempatkan pasukan kebangsaan dalam kelompok pasukan tiga teratas.

“Saya harap dengan ada jurulatih yang baharu, dia dapat naikkan semula prestasi dan juga kecergasan supaya dapat beraksi dengan baik di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah. Ini adalah sebahagian daripada persiapan untuk menghadapi Piala Dunia dan Sukan Asia,” katanya.

Pada sidang media hari ini, Tengku Abdullah turut mengumumkan Liga Hoki Wanita Kebangsaan yang akan diadakan buat pertama kalinya bermula 16 Mac depan dengan menyasarkan penyertaan lapan hingga 10 pasukan negeri dan kelab.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.