Kredibiliti FAM Akan Terjejas Jika Tidak Bertindak – KJ

KUALA LUMPUR – Kredibiliti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang diuji sejauh mana badan induk itu mampu bertindak tegas bagi menangani insiden yang berlaku di dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di Johor Bahru pada 1 Februari lalu, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan wajar dihukum tanpa ada rasa pilih kasih kerana di sisi undang-undang tiada sesiapa pun yang kebal dan mereka tidak dapat lari daripada hukuman.

“Ini isu serius. Bila saya dapat tahu bahawa pemain T-Team, penolong jurulatih pasukan, Azlan Johar semua angkat sumpah, sebagai seorang Islam bila kita angkat sumpah, kita kena anggap ia perkara yang lebih serius.

“Walaupun benda ini memang dah serius, tetapi bila angkat sumpah sahaja dia jadi satu benda yang kita tak boleh ketepikan. Saya ada hubungi Datuk Hamidin Mohd. Amin (Setiausaha Agung FAM) pagi tadi (semalam). Saya maklumkan kepadanya kita tak boleh ketepikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Siri Keupayaan Pentadbiran Kepimpinan Sains Sukan ISN-UPM di sini semalam.

Menurut Khairy, sekiranya benar terdapat insiden yang tidak diingini berlaku di Larkin, FAM perlu mengemukakan pertuduhan kerana mana-mana individu yang terlibat mesti dihukum.

“Kalau ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di Larkin kita kena buat pertuduhan dan mesti dilihat adil dan tidak ada sesiapa yang kebal dalam perkara ini. Kalau sekiranya ada kesalahan sesiapa sahaja yang buat kesalahan itu mesti dihukum, tidak boleh ada pilih kasih, tidak boleh ada undang-undang yang berbeza,” tegasnya.

Jelasnya, sebagai menteri, beliau hanya boleh memainkan peranan untuk menasihatkan FAM jika badan induk bola sepak negara itu masih gagal mengambil tindakan berhubung kejadian di Larkin.

“Kredibiliti FAM, kredibiliti bola sepak negara akan terjejas. Jadi saya maklumkan, apa sahaja keputusan selagi dilaksanakan secara adil tanpa pilih kasih daripada FAM, saya akan sokong,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.