Jangan Keluar Rumah Jika Abu Gunung Berapi Sumatera Landa M’sia – Kem. Kesihatan

KUALA LUMPUR — Orang ramai dinasihatkan tinggal di dalam rumah dan menutup semua pintu dan tingkap jika abu dari letupan Gunung Berapi Sinabung, Sumatera Utara terbang ke arah Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga menasihatkan penduduk agar memakai topeng mulut atau menggunakan kain atau tuala basah sebagai alat perlindungan pernafasan jika udara tercemar.

“Kanak-kanak, orang-orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan hendaklah mengelak atau mengurangkan aktiviti luar dalam tempoh berkenaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya minum banyak air, dan selalu membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengelak memandu dalam keadaan berabu oleh kerana ia boleh menyukarkan penglihatan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Gunung Sinabung berada dalam keadaan yang mudah meletup sejak 15 Sept dan letupan terbaru bermula pada 30 Jan mengakibatkan pelepasan abu panas ke udara pada ketinggian 5km.

Walaupun kemungkinan penduduk Malaysia terdedah kepada abu itu rendah, namun wujud kemungkinan berlaku hal sedemikian khususnya di pantai barat Semenanjung dan bahagian selatan negara.

Dr Noor Hisham berkata mereka yang terdedah kepada abu berkenaan akan mengalami simptom gangguan mata, hidung, tekak dan kulit.

Beliau berkata kementerian akan terus memantau keadaan dan menasihatkan mereka yang menghidap masalah kesihatan berkaitan abu gunung berapi segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.