Hak Mohamed Mursi Dalam Penjara Dinafikan

KAHERAH – Bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi meminta bantuan peguamnya untuk memasukkan duit bagi menampung kos kehidupannya di penjara selepas beliau tidak dibenarkan berjumpa dengan mana-mana ahli keluarga dan rakannya sejak ditahan kira-kira tujuh bulan lalu.

Perkara itu didedahkan oleh akhbar tempatan Al-Watan yang memetik rakaman perbualan antara Mursi dan peguamnya, Salim el-Awah ketika menghadiri perbicaraan di mahkamah awal bulan ini.

Dalam rakaman perbualan yang didedahkan sumber keselamatan Mesir itu, Mursi meminta bantuan Salim memasukkan wang ke dalam akaun penjaranya melalui kelulusan pihak mahkamah bagi membiayai kos kehidupannya di penjara berdekatan bandar Iskandariyah.

“Saya memerlukan wang dalam akaun penjara supaya boleh terus hidup.

“Kehidupan di sini (penjara) tidak boleh diteruskan jika kehabisan duit dan mereka (pihak penjara) tidak akan memberi wang kepada tahanan,” katanya.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Salim mengemukakan permohonan terbabit kepada pihak mahkamah.

Walaupun banduan tidak dibenarkan membawa wang tunai, keluarga mereka boleh memasukkan wang ke dalam akaun penjara sebagai tukaran kepada kupon untuk membiayai perbelanjaan.

Pelawat juga dibenarkan membawa makanan atau pakaian ketika melawat, tetapi Mursi dilarang menerima sebarang kunjungan sejak beliau menerusi peguamnya didakwa meminta supaya penyokongnya terus mengadakan bantahan.

Sementara itu, rakaman terbabit turut mendedahkan kebimbangan Mursi terhadap bantahan berterusan oleh penyokongnya sehingga menyebabkan kematian.

Dalam perbualan terbabit, Mursi bertanyakan kepada Salim tentang situasi di jalanan dan peguamnya memaklumkan bahawa bantahan dan pertempuran masih berterusan, namun tidak mencapai sebarang perubahan besar.

“Semua pihak perlu berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dan konflik ini perlu dihentikan bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak kematian.

“Semua yang berlaku tidak memberi faedah kepada kedua-dua pihak,” kata Mursi.

Sementara itu, seorang lagi peguam Mursi, Mohammed el-Damati mengecam tindakan pihak berkuasa membocorkan perbualan sulit tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian yang secara jelas melanggar hak persendirian dan hak Perlembagaan seorang pemimpin.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.