Presiden Iran Beri Jaminan Hukum Pesalah Tembak Jatuh Pesawat Ukraine

KIEV – Presiden Iran Hassan Rouhani memberitahu rakan sejawatnya dari Ukraine bahawa mereka yang menyebabkan pesawat Ukraine terhempas akan dibawa ke pengadilan, kata presiden Ukraine.

Rouhani memberitahu Volodymyr Zelensky bahawa “semua orang yang terbabit dalam bencana udara itu akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Ketua negara Iran “mengakui sepenuhnya tragedi yang berlaku akibat kesilapan tentera negara itu” dan meminta maaf, tambahnya.

Zelensky meminta Teheran untuk membenarkan mayat 11 mangsa warga Ukraine dibawa pulang ke negara itu “selewat-lewatnya 19 Januari” dan berkata, diplomat Ukraine telah mengeluarkan senarai langkah-langkah yang akan diambil untuk “menyelesaikan isu pampasan”.

“Pihak Iran bersetuju dengan Ukraine mengenai isu ini,” kata kenyataan itu.

Selepas tiga hari penafian, Tehran awal pagi semalam mengaku bahawa ia “tidak sengaja” menembak jatuh pesawat itu selepas pengendali peluru berpandu menyangka pesawat itu adalah peluru berpandu yang sedang bergerak.

Dalam mesej yang disiarkan di Facebook sejurus selepas pengakuan itu, Zelensky menuntut supaya Tehran memastikan keadilan dilaksanakan dan pampasan dibayar.

Pesawat Boeing 737 Ukraine International Airlines (UIA), yang menuju ke Kiev, terhempas tidak lama selepas berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran Rabu lalu.

Ia terhempas beberapa jam selepas Teheran melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera Amerika di Iraq, membalas dendam terhadap pembunuhan komander Qasem Soleimani dalam serangan oleh tentera AS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.