Tengku Abdullah Naik Takhta Sebagai Sultan Pahang, Bakal Dimasyhur 15 Jan

PEKAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah.

Pengumuman berkenaan dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis khas di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Istiadat pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu akan diadakan pada 15 Januari ini di Istana Abu Bakar.

Dilaporkan keadaan kesihatan Sultan Ahmad Shah, ayahanda baginda ketika ini tidak begitu mengizinkan.

Mengikut sistem penggiliran ketua negara, Sultan Ahmad Shah seharusnya mengisi jawatan Yang di-Pertuan Agong yang kosong selepas Sultan Muhammad V meletakkan jawatan baru-baru ini.

Semalam Jumaah Pangkuan Diraja Pahang bersidang di Kuala Lumpur selama tiga jam setengah dengan Tengku Abdullah menjadi pengerusinya.

Pertemuan berlangsung di Jalan Conlay itu menarik perhatian selepas Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Abdullah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan. Baginda merupakan anak keempat daripada tujuh adik beradik hasil perkahwinan Sultan Ahmad Shah dengan Almarhum Tengku Ampuan Afzan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.