Pangsapuri Lambang Salib, Pemaju Tidak Berniat Buruk, Kata KM P.Pinang

GEORGE TOWN — Kerajaan Pulau Pinang sedang menunggu laporan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung sebuah projek perumahan di Jelutong yang didakwa memaparkan lambang salib dengan menggunakan lampu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek perumahan kategori pangsapuri itu dipercayai masih belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan pemaju dalam peringkat menguji kemudahan yang terdapat di bangunan itu termasuk lampu.

“Kita masih tak dapat penjelasan daripada pemaju mengapa lampu itu begitu rupanya.

“Tetapi gambar yang seterusnya apabila lebih banyak lampu dipasang atau dinyalakan maka seperti saya kata ia akan menonjolkan satu wajah ataupun pemandangan yang biasa.

“Saya percaya ini bukan sebuah bangunan ibadat atau gereja ini satu apartment untuk penghunian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran ‘Evolve Final Year 2019’ anjuran KDU Penang University College, di sini hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai sebuah bangunan pangsapuri di Jelutong yang memaparkan lambang salib dengan menggunakan lampu yang menimbulkan ketidaksenangan hati beberapa penduduk di kawasan berhampiran dan difahamkan mereka turut membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Semalam, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dalam kenyataan meminta pihak berkuasa tempatan dengan segera mengarahkan pemaju projek perumahan itu supaya mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan berkenaan agar tidak kelihatan seperti lambang salib.

Chow berkata beliau tidak melihat isu itu sebagai satu perkara yang sengaja ditimbulkan untuk menyakiti hati mana-mana pihak, sebaliknya beliau menyifatkan ia sebahagian daripada “built environment” (persekitaran yang telah terbina) di negara ini.

“Saya nampak (pemaju) tak ada niat untuk menyakitkan mana-mana pihak, inilah sebahagian daripada ‘built environment’ di Malaysia.

“Kita nampak gereja, kuil, masjid dan lain-lain bangunan ibadat di mana-mana sahaja.

“Kalau kita rasa kita diungkit maka setiap saat, setiap minit dan setiap tempat kita pergi, kita mungkin diungkitkan perasaan. Jadi, ini memang sebahagian daripada ‘built environment’ kita,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak untuk sentiasa menjaga sensitiviti pihak lain dan saling menghormati serta memajukan agenda persefahaman. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.