Mufti P. Pinang Minta Kerajaan Negeri Selesai Segera Isu Paparan Lambang Salib

GEORGETOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, meminta kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyelesaikan isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, di sini.

Beliau berkata, pihaknya yakin kemelut itu boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya semua pihak sedia bertolak ansur demi kebaikan bersama.

“Saya berpendapat isu ini perlu ditangani secara cermat dan bijaksana mengikut saluran undang-undang sedia ada.

“Pihak berkuasa perlu menyelidik terlebih dulu adakah kejadian ini sengaja dilakukan atau hanya secara kebetulan saja.

“Untuk itu, saya dengan penuh harapan meminta kerajaan negeri, menerusi Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 dan MBPP, dengan seberapa segera mengarahkan pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan terbabit supaya tidak kelihatan seperti lambang salib yang tidak disenangi oleh kalangan tertentu dan yang menjadi objek bantahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Wan Salim berkata beliau menyeru semua pihak supaya sentiasa berhati-hati dalam tindak tanduk masing-masing supaya tidak mengeruhkan suasana hubungan harmoni dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Malah, katanya Perlembagaan Persekutuan juga melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain di kalangan masyarakat yang beragama Islam.

“Sesuatu perkara yang tidak diingini tidak boleh diselesaikan dengan hanya menzahirkan perasaan marah saja, sebaliknya ia perlu ditangani dengan waras dan cermat mengikut saluran yang sah,” katanya.

Sebelum ini, heboh di media sosial mengenai kewujudan lambang salib di Jelutong, yang dipamerkan pada sebuah bangunan pangsapuri baharu di kawasan berkenaan.

Perkara itu menjadi perbincangan hangat netizen, malah ia turut digelar sebagai ‘lambang salib paling besar di dunia’.

Difahamkan, lambang salib itu tidak dipamerkan dalam bentuk fizikal tetapi ia adalah pancaran cahaya daripada reka bentuk bangunan berkenaan yang menghasilkan cahaya berbentuk salib. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.