BERSIH Gesa PH Ambil Tindakan Tegas Terhadap Bob Manolan

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan  Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap Senator PKR, Bob Manolan Mohd yang mengugut tok batin Orang Asli dalam ucapannya semalam.

Dalam satu kenyataan media, Jawatankuasa Pemandu gabungan reformasi pilihan raya itu berkata, tindakan Bob Manolan yang juga merupakan Orang Asli itu jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Seksyen 9 menyebut dengan jelas bahawa adalah menjadi kesalahan sekiranya seseorang mengancam untuk mengenakan tindakan kepada orang lain kerugian dengan memaksa seseorang untuk mengundi atau tidak mengundi sesuatu pihak. 

“Perkara ini  jelas dilakukan oleh Senator Bob Manolan Mohd semasa sesi dialog yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Raub bersama Tok Batin di Pos Betau, Jelai,” kata gabungan itu.

Dalam kenyataan itu juga, BERSIH 2.0 menggesa Tok Batin atau wakil-wakil yang hadir di sesi dialog tersebut untuk tampil dan membuat laporan kepada  polis agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan selanjutnya.  

“Kesalahan memberikan pengaruh tidak  wajar seperti mengugut dan mengancam  pengundi untuk mengundi atau tidak mengundi sesuatu parti atau calon boleh menyebabkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun, denda tidak lebih RM5000 atau kedua-duanya sekali. 

“BERSIH 2.0 sekali lagi menggesa agar semua calon dan jentera pilihan raya agar berkempen dengan berhemah serta mematuhi Akta Kesalahan Piliha Raya. Era Malaysia Baharu sepatutnya menampilkan calon dan jentera pilihan raya berkempen secara profesional dan beretika,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Bob Manolan dalam satu sesi dialog wakil rakyat PH bersama 18 tok batin di Pos Betau, Cameron Highlands berkata pemimpin masyarakat itu mungkin kehilangan gaji dan jawatan jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil parlimen itu, 26 Januari ini.

“Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

“Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.

“Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia,” katanya dipetik ketika sesi dialog tersebut.

Ucapannya itu mengundang kritikan pelbagai pihak bukan saja pembangkang, malah daripada pro PH sendiri.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Twitter beliau semalam menegur   senator itu dan memintanya memberi penjelasan dengan segera.

“Tiada paksaan dalam demokrasi. Bob perlu menjelaskan kenyataannya segera,”tulis Anwar.

Bagaimanapun Bob Manolan dalam kenyataan balasnya kemudian menafikan beliau mengugut tok batin, sambil berkata apa yang ingin disampaikannya ialah, ketua-ketua masyarakat Orang Asli itu tidak sepatutnya terlibat dengan UMNO yang pada masa sama menerima eluan daripada kerajaan pusat. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.