7 UTC Dalam Pusat Beli Belah Diteruskan Operasinya

KUALA LUMPUR: Operasi di tujuh Pusat Transformasi Bandar (UTC) dalam pusat membeli-belah seluruh negara akan dilanjutkan sehingga jam 10 malam bermula 22 Januari ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, memaklumkan pindaan waktu operasi itu diputuskan selepas menerima maklum balas daripada orang awam yang memohon supaya operasi UTC di beberapa lokasi tertentu dilewatkan sehingga 10.00 malam.

Katanya, tujuh UTC itu membabitkan UTC Shah Alam di Selangor; UTC Keramat di Kuala Lumpur; UTC Seremban, Negeri Sembilan; UTC Alor Setar, Kedah; UTC Johor Baru, Johor; UTC Kota Bharu, Kelantan dan UTC Kuala Terengganu di Terengganu.

Semua tujuh UTC terbabit akan beroperasi mulai jam1 tengah hari hingga 10 malam pada hari bekerja manakala jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari minggu.

Waktu operasi UTC di lokasi lain di seluruh negara turut dipinda dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Pertukaran waktu operasi ini turut dibuat sebagai langkah penjimatan perbelanjaan Kerajaan.

“Namun begitu, UTC tetap beroperasi selama tujuh (7) hari seminggu kecuali cuti umum bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan Kerajaan.

“Waktu operasi UTC akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan permintaan rakyat dipenuhi dan pada masa yang sama perbelanjaan Kerajaan dibuat secara efisien tanpa pembaziran waktu dan tenaga,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu surat edaran yang ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, bertarikh 12 Disember 2018 memaklumkan semua UTC di seluruh negara beroperasi dari jam 8 pagi hingga 7 petang, bermula 1 Januari lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.