PKR Tidak Akan Sertai Himpunan Sokong RUU 355 Anjuran PAS – Saifuddin

KUALA LUMPUR – PKR tidak akan menyertai Himpunan 355 yang dianjurkan PAS pada 18 Febuari nanti.

 

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung parti itu Saifuddin Nasution kepada Berita Daily.

 

“Kalau ada jemputan itu pun, kita (PKR) tidak akan menyertailah. Itu sahajalah, tidak akan menyertai, noktah,” katanya tanpa mengulas lanjut.

 

Beliau dalam pada itu memaklumkan sehingga kini PKR masih belum menerima jemputan daripada PAS.

 

“Tadi saya bermesyuarat dengan kakitangan saya tiada pula saya dimaklumkan tentang jemputan,” ujarnya.

 

Terdahulu PAS menjemput semua parti politik menyertai Himpunan 355 dalam usaha parti tersebut membawa usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang dijadualkan bakal dibentangkan di Parlimen pada sidang Dewan Rakyat Mac akan datang.

 

Sementara itu Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub pula berkata, keputusan hanya akan dibuat selepas jemputan rasmi diterima.

 

Beliau dalam pada itu menambah, Amanah berpegang teguh kepada pendirian parti seperti kenyataan yang dikeluarkannya semalam bahawa Parlimen adalah medium yang sesuai untuk membahaskan RUU itu.

 

“Saya sudah keluarkan kenyataan bahawa kita (Amanah) rasa Parlimen adalah medan terbaik untuk kita teliti dan perbahas RUU itu.

 

“Tapi setakat ini itulah pendirian kita. Kalau dapat kad jemputan itu nanti kita bincang kemudian,” katanya lagi.

 

Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sehingga kini gagal dihubungi. – BeritaDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.