Datuk Terlajak Laris Dijangka Ikut Jejak Vida Qu Puteh Taja Pasukan Bola Sepak

KUALA LUMPUR – Selepas pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Dr Vida menaja pasukan bola sepak Kelantan, kini seorang lagi usahawan kosmetik terkenal tanah air, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dijangka turut mengikut jejaknya.

 

Pemilik syarikat D’Herbs Holding (M) yang terkenal dengan tagline `Terlajak Laris’ itu yang dihubungi BH Sukan semalam, mengesahkan sudah menerima pelawaan daripada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk menjadi penaja mereka.

 

Tanpa ingin mendedahkan nama pasukan atau kelab itu, Aliff Syukri bagaimanapun mengakui setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya.

 

“Saya sebenarnya tengah `lemas’ kerana banyak sangat persatuan bola sepak negeri menghubungi saya, terlajak banyak. Mereka menghubungi saya untuk minta menjadi penaja.

 

“Apapun saya masih tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sebab saya nak keluarkan kenyataan secara profesional. Tunggu dulu sidang media yang akan saya lakukan,” katanya.

 

Dr Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang juga pemilik Vida Beauty Sdn Bhd mengejutkan sukan bola sepak tanah air, apabila bersetuju menaja pasukan Kelantan atau The Red Warriors menerusi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) minggu lalu.

 

Perjanjian penajaan itu yang membabitkan 35 syarat, dijadual ditandatangani pada Jumaat ini.

 

Biarpun tidak dinyatakan secara rasmi jumlah penajaan itu, namun laporan awal menyatakan ia dijangka membabitkan sebanyak RM20 juta.

 

Mengulas lanjut, Aliff Syukri, 29, berkata, beliau mengakui perlu memikirkan sebaik mungkin untuk menjadi penaja bagi mana-mana dalam pasukan Liga M sebelum membuat keputusan kerana ia membabitkan modal yang besar.

 

“Saya dalam proses (perbincangan). Kita pun nak tengok yang mana terbaik dan saya tak nak salah langkah hingga menyebabkan produk saya jatuh dan sebagainya.

 

“Lebih dari tiga atau empat negeri yang tawarkan saya jadi penaja, cuma saya tak nak main ambil saja sebab modal besar,” katanya.

 

Mengulas mengenai langkah Dr Vida menaja pasukan Kelantan, Aliff Syukri berkata: “Saya ucapkan tahniah kepada Dr Vida, kerana beliau banyak melakukan penajaan dan semoga dimurahkan lagi rezeki selepas ini.” – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.