Tolak Politik Dinasti Dalam Umno – Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Amalan atau budaya ‘dinasti’ ditolak oleh parti terbesar kaum Melayu itu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Sebaliknya, beliau menasihatkan Umno supaya menapis dan memilih pemimpin yang berminat untuk diletakkkan di tempat yang sesuai bagi memimpin parti itu.

 

“Dalam Umno tidak harus ada dinasti. Siapa sahaja yang layak dan cinta Umno berhak dilantik ke semua jawatan.

 

Kaitan kekeluargaan tidak boleh dijadikan asas pemilihan atau penolakan.

 

“Mungkin semua ini tidak mudah dilakukan. Tetapi percubaan mesti dibuat,” kata beliau dalam blognya.

 

Bagaimanapun negarawan tidak menyebut pemimpin yang dimaksudkan tetapi ia dilihat dimaksudkan kepada Datuk Seri Najib Razak dan sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga menteri pertahanan.

 

Sementara itu, dalam tulisannya yang sama, bekas presiden Umno juga menasihatkan supaya ahli Umno supaya menegur pemimpin yang cuba menukar perjuangan parti itu membela orang Melayu.

 

Tegasnya yang juga bekas menteri kewangan, ahli Umno perlu bijak membezakan antara pendekatan bagi menjayakan perjuangan parti dengan pendekatan yang akan mengubah perjuangan Umno.

 

“Semua ini mesti difahami oleh bakal ahli dan pemimpin Umno. Jika mereka tidak tahu dan tidak faham, jika mereka anggap Umno sebagai batu loncatan untuk kekayaan dan kuasa, adalah lebih baik jika berada di luar Umno.

 

“Suarakanlah pendapat mereka di dalam negara yang bebas dan demokratik ini,” katanya lagi.

 

Bagi menerima dan menolak kemasukan ahli baru yang berbakat, Dr Mahathir menggesa satu pasukan yang dianggotai individu yang bersimpati dengan perjuangan Umno diberi tugas untuk menapis keahliannya.

 

“Setelah ditapis mereka mestilah diterima oleh Umno dan diletak di tempat yang sesuai, tempat di mana mereka tinggal atau yang ada kaitan.

 

“Layanan terhadap mereka oleh cawangan dan bahagian mestilah dipantau oleh badan khas,” katanya.

 

Berikut adalah pandangan Tun Dr Mahathir berhubung perkara tersebut:

 

Syukur (Bahagian II)

 

18. Mereka yang ingin menyertai UMNO perlu faham sejarah dan matlamat perjuangan UMNO. Jika mereka dapati perjuangan ini bertentangan dengan prinsip perjuangan diri sendiri, adalah lebih baik jika mereka berada di luar UMNO.

 

19. Walaupun demikian ini tidak bermakna UMNO beku dan jumud, bahawa perjuangannya sudah ketinggalan zaman, tidak relevan lagi.

 

20. Asas perjuangan untuk memberi tempat kepada orang Melayu di negara yang mereka bersetuju berkongsi dengan bangsa-bangsa lain tidak perlu diubah. Asas perjuangan UMNO untuk menebus maruah orang Melayu tidak perlu diubah. Asas perjuangan untuk orang Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain tidak perlu diubah.

 

21. Yang perlu diubah ialah pendekatan yang mampu mencapai matlamat dengan lebih awal dan lebih kukuh.

 

22. Liberalisme Barat yang menghalal segala-galanya tidak akan menjadikan orang Melayu lebih mulia dan lebih berjaya. Sebenarnya menerima semua yang datang dari Barat membuktikan ketandusan pemikiran Melayu. Setelah merdeka 60 tahun, apakah akal fikiran Melayu masih belum bebas, belum merdeka?

 

23. Tetapi jika ada yang baik yang datang dari mana-mana pun Melayu mesti bijak memilih, apa yang perlu ditolak, ditolak dan apa yang perlu diterima, diterima.

 

24. Umumnya budaya Barat yang mengutamakan hak individu lebih daripada hak orang ramai perlu ditolak.

 

25. Pemimpin yang cuba menukar perjuangan UMNO perlu ditegur. Jika tidak perjuangan akan lari jauh dari asas perjuangan Melayu. Sesungguhnya banyak sudah kesalahan yang berlaku dahulu kerana budaya Melayu yang tidak suka merentak hati pemimpin. Kemudian bermasalahlah mereka untuk menangani kesan kesalahan ini.

 

26. Ahli UMNO perlu bijak membeza antara pendekatan bagi menjayakan perjuangan UMNO dengan pendekatan yang akan mengubah perjuangan UMNO.

 

27. Semua ini mesti difahami oleh bakal ahli dan pemimpin UMNO. Jika mereka tidak tahu dan tidak faham, jika mereka anggap UMNO sebagai batu loncatan untuk kekayaan dan kuasa, adalah lebih baik jika berada diluar UMNO. Suarakanlah pendapat mereka di dalam negara yang bebas dan demokratik ini.

 

28. Disini akan timbul masalah lain pula. Dengan mengguna alasan tidak tahu dan tidak faham, atau alasan bercita-cita mengguna UMNO sebagai batu loncatan, maka pemimpin yang sedia ada akan menolak kemasukan ahli baru, terutama yang berbakat.

 

29. Oleh itu tapisan hendaklah dibuat oleh satu pasukan yang tidak punyai kepentingan apa-apa. Mereka yang sudah bersara dari jawatan dan orang luar yang bersimpati dengan perjuangan UMNO perlu diberi tugas untuk menapis keahlian.

 

30. Setelah ditapis mereka mestilah diterima oleh UMNO dan diletak di tempat yang sesuai, tempat dimana mereka tinggal atau yang ada kaitan. Layanan terhadap mereka oleh cawangan dan bahagian mestilah dipantau oleh badan khas.

 

31. Dalam UMNO tidak harus ada dinasti. Siapa sahaja yang layak dan cinta UMNO berhak dilantik ke semua jawatan. Kaitan kekeluargaan tidak boleh dijadikan asas pemilihan atau penolakan.

 

32. Mungkin semua ini tidak mudah dilakukan. Tetapi percubaan mesti dibuat.

One thought on “Tolak Politik Dinasti Dalam Umno – Dr Mahathir

  • January 13, 2015 at 10:32 am
    Permalink

    Sangat bersetuju dengan pandangan Tun.

    Sementara perjuang bangsa kita kelek, kemajuan kita kejar, agama kita junjung. Akhirnya, kepada Allah, kita bertawakkal.

    Semuga perjuangan kita kekal relevent buat sepanjang zaman. Amin.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.