Sesi Persekolahan 2015 : Misha Omar Gusar Dan Bimbang

Kuala Lumpur – Sama seperti ramai ibu bapa lain, penyanyi Misha Omar tidak terlepas daripada perasaan gusar dan bimbang. Sesi persekolahan 2015 yang bermula hari ini merupakan pengalaman baharu buat anak angkat kesayangannya, Muhammad Adam Emir.

“Sebelum ini, Adam sudah dua tahun bersekolah di sekolah swasta Islamik, namun ini baru hari pertama dia ke sekolah kebangsaan untuk mengikuti persekolahan darjah tiga,” ujar Misha yang telah lebih awal berbincang dengan suaminya, Firos Ezzwan Rosly, mengenai pertukaran aliran sekolah anak mereka.

Setelah mendapat pendidikan asas yang menerapkan ajaran Islam dan pembelajaran bahasa Arab di sekolah lamanya, Adam didaftarkan ke sebuah sekolah kebangsaan di Cheras kerana mereka percaya bahawa si kecil berusia 8 tahun itu perlu didedahkan dengan persekitaran baharu.

Menurut Misha, Firos meyakinkannya bahawa Adam perlu membesar bersama pelbagai lapisan masyarakat dari latar kaum dan agama yang berbeza kerana dari situ banyak yang akan dia pelajari. Mereka percaya, pertukaran sekolah akan menyediakan Adam dengan kehidupan sebenar.

 

“Saya harap dia dapat berkenalan dengan kawan baharu dan belajar membeli (makanan di kantin) menggunakan duit saku sendiri. Saya juga mahu dia merasai sesi pembelajaran di sekolah yang mempunyai banyak kemudahan tambahan,” ujarnya.

Misha yang juga sempat berkenalan dengan ibu bapa murid-murid lain turut menambah, sebagai ibu, dia tidak lepas daripada perasaan bimbang dengan keupayaan anak mengadaptasi suasana baharu.

“Namun, seorang ibu perlu memberi kepercayaan kepada anak. Saya amat berbangga melihat Adam tidak merungut atau menangis. Paling-paling pun dia cuma terkejut dengan bilangan murid yang ramai,” ujar Misha yang turut menyediakan bekal makanan untuk Adam dan seterusnya tiba di sekolah Adam seawal jam 7 pagi.

Kekok kali pertama

Perasaan kekok yang dialami oleh ibu bapa yang kali pertama menghantar anak ke sekolah turut dirasai pasangan Wan Fakhrul Wan Bakar, 32, dan isteri, Waziha Wahid, 32. Anak mereka Wan Adriana, 7, hari ini memulakan rutin sebagai murid di sebuah sekolah rendah dalam kejiranan mereka di Bangi.

“Persiapan untuk anak kami ke sekolah dibuat sejak penggal cuti sekolah bulan 12 lalu. Kami beli sedikit demi sedikit dan seterusnya menunggu sehingga hari pertama di sekolah untuk mengemas kini senarai barangan tambahan yang perlu dibeli,” ujar Waziha yang merupakan surirumah sepenuh masa.
Pasangan tersebut mengakui pelbagai perasaan dirasai – risau dan bangga berselang-seli. Namun, menurut Waziha, dia dan suami perlu cepat memahami keperluan pembelajaran anak mereka seperti buku teks, alatan asas belajar dan seragam tambahan.

“Kami juga akan mula mengurus waktu dengan bergilir menghantarnya ke sekolah dan menjemputnya pulang. Tambahan pula, pada sebelah pagi dia ke sekolah agama dan petang ke sekolah kebangsaan,” ujarnya.

Petang tadi, suaminya yang mengambil cuti telah menghantar Wan Adriana ke sekolah kebangsaan tersebut yang mempunyai 900 orang murid dari darjah satu hingga tiga.

“Namun, suami memberitahu, guru sekolah meminta semua ibu bapa meninggalkan anak-anak mereka di dewan dan hanya menunggu di kantin. Ibu bapa tidak dibenarkan melihat anak-anak mereka secara dekat, apatah lagi meninjau-ninjau di tepi bilik darjah.

“Mungkin itu langkah pihak sekolah untuk mengawal keadaan selain mengajar anak-anak agar cepat membiasakan diri dan berdikari tanpa diperhatikan ibu bapa sepanjang masa,” kata Waziha akur. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.