QZ8501: Tunggu Mayat Anak

Surabaya – Pasangan suami isteri warga Korea Selatan, Seong Beom Park, 37, dan Kyung Hwa Lee, 34, ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila seorang daripada mereka masih memakai kain gendongan bayi.

 

Bagaimanapun, pasukan BASARNAS gagal menemui mayat bayi pasangan berkenaan dikenali sebagai Yuna Park berusia 11 bulan.

 

Berdasarkan rujukan dengan Kedutaan Besar Korea Selatan di Indonesia, keluarga Lee dan Park meminta mayat itu dipulangkan selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat bayi berkenaan, kata Ketua Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Dr Budiyono

 

“Kita cuba memenuhi permintaan itu,” katanya.

 

Budiyono berharap pasukan SAR dapat memenuhi harapan keluarga mangsa dengan menemui bayi pasangan itu.

 

“Jika ditemui, identiti bayi berkenaan mudah dikenal pasti kerana sampel DNA diperoleh daripada mayat ibu bapanya,”katanya.

 

Budiyono berkata, identiti pasangan berkenaan dikenal pasti berikutan sepadan antara data pertama dan kedua antemortem dengan hasil bedah siasat dilakukan pasukannya.

 

“Malah kedua-dua mereka turut memiliki tampalan gigi emas.

 

“Buat sementara ini, kedua-dua mayat disimpan di ruang sejuk beku dengan suhu negatif 20 darjah Celsius di Hospital Bhayangkara, di sini sehingga mayat anak mereka ditemui,” katanya.

 

Kelibat pasangan berkenaan dirakam menerusi kamera litar tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda bersama bayi mereka sebelum menaiki pesawat terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Singapura untuk memperbaharui visa mereka.

 

Selain Park dan Lee, pasukan DVI berjaya mengenal pasti Vera Chandra Kho,19, warga Indonesia.

 

Setakat hari ini, DVI berjaya mengenal pasti 32 dari 48 jasad yang dibawa ke Hospital Bhayangkara dan 29 daripada mayat itu berjaya diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk disemadikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.