Perancis Kerah 15,000 Anggota Kawal Lokasi ‘Paling Sensitif’

Paris – Perancis mengerahkan 10,000 anggota tenteranya mengawal di sekitar lokasi “paling sensitif” di seluruh negara itu, mulai esok.

 

Ia sebagai langkah berjaga-jaga, susulan tiga serangan pengganas yang meragut 17 nyawa.

 

Kerahan itu adalah tambahan kepada 5,000 anggota polis dan pasukan keselamatan yang sudah digerakkan pada Isnin, untuk melindungi 717 sekolah dan lokasi-lokasi Yahudi di Perancis.

 

Menteri Pertahanan, Jean-Yves Le Drian mengumumkan langkah baru itu, selepas menyertai mesyuarat tergempar yang diadakan Presiden, Francois Hollande bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

 

Pasukan keselamatan turut dikerahkan mencari “rakan subahat berkemungkinan” yang disifatkan Perdana Menteri, Manuel Valls sebagai mustahak, kerana “ancaman masih wujud.”

 

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu memberitahu Agensi Anadolu, balu seorang daripada penyerang di Paris telah memasuki Syria, Khamis lalu, sehari selepas serangan di pejabat majalah satira, Charlie Hebdo yang meragut 12 nyawa serta suaminya, Amedy Coulibaly menembak mati seorang anggota polis wanita di Montrouge, selatan Paris, pada awal pagi Khamis lalu.

 

Cavusoglu memaklumkan, Hayat Boumedienne berlepas dari Madrid dan tiba di Turki, pada 2 Januari lalu.

 

Wanita berusia 26 tahun itu kemudiannya tinggal di sebuah hotel di Istanbul, sebelum memasuki Syria, Khamis lalu.

 

Polis kini mencari individu yang merakam dan memuat naik sebuah rakaman video yang muncul pada Ahad, menunjukkan Coulibaly menjelaskan cara melancarkan serangan serta berikrar akan setia kepada kumpulan militan Negara Islam (IS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.