Penduduk Kecewa Dengan Azmin, Tipu Rakyat Dan Tidak Ambil Kira Pandangan Peduduk

Kuala Lumpur – Kalangan penduduk di sini marah dan kecewa dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali setelah beliau mendakwa projek Datum Jelatek diluluskan dengan mengambil kira pandangan masyarakat setempat.
“Pembohong sepembohong-bohongnya. (Saya) menafikan sama sekali (persetujuan dari penduduk),” kata mantan pengerusi Masjid Al-Ansar, Tamat Keramat, Kamaruddin Shafie.
Antarapos sebelum ini melaporkan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebagai berkata projek kontroversi Datum Jelatek diteruskan setelah mengambil kira pandangan penduduk.
Azmin berkata, projek berkenaan mengikut konsep pembangunan berkualiti dan diluluskan setelah penduduk setempat diberi ruang untuk memberikan sebarang maklum balas.
“Projek ini tertangguh agak lama oleh kerana kita beri ruang kepada penduduk untuk beri maklum balas kepada kerajaan negeri. Dan sudah tentu pandangan ini telah diambil kira sebelum kita meluluskan kebenaran merancang bagi pembangunan di Datum Jelatek,” kata Azmin awal bulan ini.
“Yang penting kepentingan rakyat di situ diambil kira dan saya gembira kerana ramai anak tempatan yang telah mendaftarkan minat mereka untuk beli hartanah dalam projek Datum Jelatek ini,” katanya.
Bagaimanapun kenyataan Azmin disanggah keras oleh beberapa pihak yang ditemui Antarapos termasuk Kamaruddin.
Kamaruddin berkata pihaknya merasa begitu terhina dengan risalah yang diedarkan kepada penduduk yang mencanang projek Datum Jelatek sebagai “Perkongsian Bijak, Prihatin Rakyat” .
“Dan ini (projek Datum Jelatek) pun kami tak mahu, “Perkongsian Bijak, Prihatin Rakyat” ini betul-betul memalukan kita, rakyat di sini semua Melayu…takkanlah kami ini bodoh sangat nak bersetuju dengan kenyataan tersebut,” katanya.
Kamaruddin juga berkata, sejak menjawat jawatan Menteri Besar, Azmin jarang turun ke kawasan tersebut apatah lagi untuk bertemu dengan rakyat bagi merungkai projek kontroversi itu.
“Tak ada, langsung tidak ada (Azmin langsung tak berjumpa dengan penduduk Taman Keramat). Saya sentiasa di masjid dan kalau saya tak ada pun wakil saya banyak di sana,” ujarnya.
Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ) Salleh Samad turut mempertikaikan dakwaan Azmin bahawa pandangan rakyat telah diambil kira dalam meluluskan Datum Jelatek.
Beliau berkata berkemungkinan besar persetujuan yang dimaksudkan oleh Azmin itu diperolehi daripada beberapa penduduk yang ‘mesra’ dengan  Datum Corporation.
Ini kerana, beliau dimaklumkan bahawa sebahagian kecil penduduk di situ telah diundang ke satu majlis makan malam dengan layanan VIP.
“Dekat sini (orang-orang lama) dah tak boleh (dipujuk), orang surau pun tak boleh nak jumpa sebab penduduk membantah. Jadi dia bawa satu kumpulan pergi Datum Corporation punya pejabat. Bagi makan, satu kepala RM50 dan layanan macam raja,” jelasnya.
Perkara tersebut turut dipersetujui oleh seorang lagi penduduk di situ.
“Itu yang dia (MB) lapor orang di sini dah bersetuju…orang yang sudah makan sajalah yang bersetuju, orang yang tak makan tak setuju,” kata Mohd Ali Mohd Untung.
Zainal Abdullah adalah antara  penduduk yang diundang ke majlis berkenaan. Beliau juga berasa hairan dengan layanan sebegitu mewah diberikan kepada mereka.
“Saya pergi sana sebab nak tengok apa perkembangan terkini (Projek Datum Jelatek), tapi apa yang dia (pemaju) cakap dia tak jual (kepada bangsa asing) tapi nak jual kepada Melayu.
“Saya pun hairanlah, layanan dia macam VIP dengan disambutnya kita. Jemput sampai depan pintu,” jelasnya.
Ujarnya lagi, berkemungkinan besar pada Rabu ini satu majlis yang sama diadakan untuk sekumpulan kecil penduduk Taman Keramat itu.
Penduduk Taman Keramat sebelum ini pernah menghantar memorandum bantahan beberapa kali kepada kerajaan negeri merayu projek berkenaan dibatalkan, namun tidak diendahkan.
Penduduk setempat yang menggelarkan diri mereka sebagai Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ) kerap mempersoalkan tindakan pihak berkuasa untuk terus membangunkan projek itu tanpa kelulusan asas.
Salleh mempersoalkan bagaimana pemaju memperolehi permit pembangunan atau ‘development order’ untuk projek berkenaan.
Ini kerana, menurut beliau,  laporan penilaian impak sosial yang dijalankan konsultan yang dilantik Majlis Perbandaran Ampang Jaya sendiri mengakui projek mewah itu tidak sesuai dilaksanakan Taman Keramat.
Datum Jelatek adalah antara projek mewah PKNS yang telah dirancang sejak tahun 2010 melibatkan pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah di Jalan Jelatek, Datuk Keramat bernilai RM1.2 bilion.
Pada permulaannya projek itu diuar-uarkan sebagai merangkumi empat bangunan setinggi 45 tingkat, pejabat, hotel dan pusat membeli belah.
Antara kebimbangan penduduk ialah harga tinggi untuk unit-unit projek itu akan meminggirkan kepentingan Bumiputera di situ, memandangkan kawasan itu rata-rata penempatan Melayu. – AntaraPos

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.