Penduduk Bimbang ‘Dihujani’ Bongkah Batu

KUALA LUMPUR – Penduduk di sekitar kawasan Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai, Cheras bimbang dengan beberapa kejadian runtuhan bongkah batu di cerun batuan sehingga menghalang laluan utama penduduk setempat.

 

Mereka juga bimbang kejadian itu mampu mendatangkan risiko kepada penduduk setempat sekiranya runtuhan bongkah itu menghempap penduduk yang melalui kawasan itu sehingga meragut nyawa.

 

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Erik, 34, berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam itu bukanlah kejadian yang pertama kerana ia pernah berlaku dua minggu lepas dan tahun lepas di kawasan berhampiran.

 

“Kejadian pertama berlaku semasa saya melalui kawasan tersebut dan saya terus menghubungi bomba untuk membuat aduan. Saya tidak menolak kemungkinan runtuhan itu disebabkan pembinaan rumah teres berkembar dua tingkat di bahagian atas cerun itu, sejak awal tahun lepas.

 

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil langkah proaktif bukan sahaja untuk pelan jangka masa panjang tetapi juga pelan jangka masa pendek yang harus dibuat segera bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

 

Beliau berkata, pembinaan rumah teres itu pernah mendapat bantahan daripada penduduk di situ memandangkan di atas cerun tersebut juga terdapat beberapa perumahan sedia ada antaranya Kondominium Vista Panorama, pangsapuri Mutiara Court serta rumah teres Taman Bukit Permai.

 

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Fuad, 37, pula berkata kejadian itu amat membimbangkan dan jika tiada tindakan pencegahan diambil dikhuatiri akan menyebabkan tanah runtuh.

 

“Sebelum ini batu yang jatuh bersaiz kecil sahaja tetapi semalam saiznya begitu besar sehingga boleh memuatkan lori tanah 10 tan. Saya tidak mahu bila sudah ada kemalangan jiwa baru ada tindakan,” katanya yang telah menetap di kondominium berkenaan sejak setahun yang lalu.

 

Azzu, 40, berkata di cerun berbatu itu juga terdapat lelehan air yang mengalir yang tidak pasti apakah puncanya.

 

“Sejak berlaku runtuhan ini, saya jadi trauma apabila melalui kawasan ini tetapi kami tidak ada pilihan memandangkan ia merupakan satu-satunya laluan yang ada untuk penduduk keluar masuk apatah  lagi apabila musim hujan sekarang ini saya bertambah bimbang,” katanya.

 

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, ketika ini pihak MPAJ akan memasangkan jaring untuk pengukuhan cerun sementara dan bagi menghalang serpihan batuan jatuh di atas jalan raya manakala tindakan untuk jangka masa panjang masih lagi di peringkat kajian dan belum dimuktamadkan lagi dalam aspek reka bentuk semula. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.