Pemberontak Pro-Rusia Dedah Foto Kapten Vladislav Voloshin Yang Dikatakan Bertanggungjawab Tembak MH17

Kiev – Pemberontak pro-Rusia buat pertama kalinya telah mendedahkan foto juruterbang Ukraine, yang dituduh oleh Rusia sebagai individu yang bertanggung jawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17.

 

Jawatankuasa Siasatan Rusia, badan yang setaraf dengan FBI telah menggesa Kapten Vladislav Voloshin untuk menjalani ujian poligraf (mengesan penipuan) dan perlu melalui sesi soal siasat rasmi.

 

Menurut badan tersebut, terdapat banyak bukti terhadap juruterbang itu yang perlu diambil kira oleh siasatan rasmi yang diketuai kerajaan Belanda.

 

Penglibatan Voloshin sebagai dalang dalam peristiwa ini mula dikaitkan apabila seorang ‘saksi rahsia’ tampil dalam satu rancangan temu bual, ‘Malaysian Boeing case’.

 

Saksi tersebut menceritakan secara terperinci berkaitan peristiwa berkenaan, termasuk bagaimana juruterbang itu merungut berkaitan sebuah ‘pesawat’ (dikatakan sebagai MH17) yang ‘berada di tempat dan masa yang salah’.

Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Alexander Bastrykin telah menegaskan bahawa saksi itu telah lulus ujian poligraf dan kenyataannya boleh diterima pakai.

 

Bagaimanapun, juruterbang yang dianggarkan berusia lewat 20-an itu telah menafikan kepada pihak atasannya bahawa beliau bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.

 

Sementara itu, Ukraine terus menyalahkan Rusia dan menuduh propaganda ini dicipta bagi menyalahkan juruterbang tersebut, lapor portal berita Mail Online.

 

Insiden berkenaan telah membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal, yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.