Pejabat Akhbar Jerman Pula Jadi Sasaran

BERLIN – JERMAN. Sebuah syarikat akhbar di utara bandar pelabuhan Hamburg yang mencetak semula karikatur majalah satira, Charlie Hebdo dibakar dalam kejadian serangan terbaharu, semalam selepas insiden berdarah di Paris pada minggu lalu.

 

Jurucakap polis memberitahu, beberapa objek dipercayai dilemparkan pada tingkap premis Hamburger Morgenpost tersebut hingga mencetuskan kebakaran, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

 

“Seramai dua suspek telah ditahan untuk membantu siasatan. Pihak berkuasa Keselamatan Negara telah membuka siasatan untuk memastikan sama ada insiden tersebut ada kaitan dengan serangan ke atas ibu pejabat Charlie Hebdo,” katanya lagi tanpa memberikan butiran lanjut.

 

Difahamkan, tindakan biadab beberapa akhbar di Jerman menerbitkan karikatur muka depan menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan kemarahan banyak pihak walaupun langkah itu kononnya sebagai tanda solidariti dengan kartunis Perancis.

 

Dalam perkembangan lain, teman wanita suspek yang dikehendaki pihak berkuasa, Hayat Boumeddiene dipercayai kini berada di Syria selepas tiba di Turki pada 2 Januari lalu.

 

Jurucakap pihak berkuasa Ankara memaklumkan Hayat turut mempunyai tiket pergi dan balik dari Madrid ke Istanbul.

 

Sementara itu, hasil risikan pihak berkuasa mendapati wanita tersebut sudah berada di luar Paris ketika insiden pembunuhan menggemparkan itu berlaku.

 

Ia sekali gus menyangkal spekulasi sebelum ini yang mendakwa dia turut terlibat dalam kejadian didalangi kekasihnya, Amedy Coulibaly. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.