PasMa Bincang ‘Kerjasama Masa Depan Dengan DAP

Georgetown – Serombongan 15 orang Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di sini hari ini.

 

Salah seorang daripada mereka yang turut hadir di perjumpaan di tingkat 28 bangunan Komtar pagi tadi berkata, rombongan berkenaan berbincang bersama Guan Eng mengenai “kerjasama masa depan” menjelang pilihan raya umum ke-14.

 

Katanya, rombongan itu diketuai oleh Presiden PasMa dan bekas exco Kedah, Phahrolrazi Mat Zawawi.

 

Ketua PasMa Pulau Pinang, Zulkifly Md Lazim, turut bersama rombongan hari ini.

 

“Kami membangkit beberapa isu dan membincang strategi kerjasama bagi pilihan raya umum 14 bersama Lim,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

 

“Phahrolrazi berkata, PasMa sedang menimbang kemungkinan menjadi sebuah parti politik dan bersedia menjadi rakan baru DAP dan PKR,” tambahnya.

 

“Kami juga memberi jaminan kepada Lim bahawa PasMa komited untuk bersama Pakatan Rakyat.”

 

Phahrolrazi kini mengadakan perjumpaan dengan ahli PasMa di Bertam, Seberang Perai Utara.

 

Ketika ditemui, Lim mengesahkan perjumpaan itu hari ini.

 

Lim berkata, beliau sentiasa mengalu-alukan lawatan NGO ke pejabatnya tetapi enggan menyatakan perkara diperbincangkan bersama PasMa hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.