Pangsapuri PR1MA Sepatutnya Dijual Dengan Harga RM60,000

Kuala Lumpur – Pangsapuri di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Cameron Highlands sepatutnya dijual pada harga minimum RM60,000 seunit, atau separuh daripada harga unit paling murah.

 

Projek PR1MA di Cameron Highlands merupakan pangsapuri jenis A yang sepatutnya dijual pada harga 30 peratus di bawah harga pasaran, jenis B pula dijual dalam lingkungan RM200,000 dan jenis C, iaitu unit kos rendah dijual dalam lingkungan RM120,000.

 

Ketua Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Cameron Highlands, Suresh Kumar berkata, harga semasa rumah PR1MA masih terlalu mahal untuk golongan berpendapatan rendah.

 

PSM mengklasifikasikan golongan berpendapatan rendah adalah mereka yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

 

“Keadaan di mana harga rumah dan sewa yang semakin tinggi disebabkan pelancongan, menyebabkan ramai yang terpaksa menolak membeli rumah PR1MA, kerana mereka tidak dapat mengumpul wang untuk bayaran pendahuluan dan mendapatkan pinjaman bank.

“Pihak kerajaan tempatan sepatutnya menyediakan satu skim sewa beli untuk mereka yang tidak mampu mendapatkan pinjaman bank.

 

“Skim sewa beli ini juga dapat menghapus atau mengurangkan bayaran muka dengan nyata.

 

“Rakyat memerlukan bantuan, kerana mereka juga terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya kepada The Rakyat Post.

 

Jelasnya, mereka terpaksa tinggal di rumah setinggan, disebabkan mereka tidak mampu membayar sewa, terutama warga asing yang datang ke Cameron Highlands untuk mencari kehidupan lebih baik.

 

Dia turut bimbang, skim sewa beli itu sudah terlambat untuk dilaksanakan, memandangkan 50 hingga 70 peratus unit rumah PR1MA telah dijual.

 

Suresh turut mendakwa orang awam di Cameron Highlands sukar mendapat maklumat mengenai skim ‘sewa-untuk-memiliki’ buat pembeli PR1MA yang permohonan pinjaman mereka ditolak bank.

 

PR1MA terbuka kepada mereka yang tinggal di Pahang, dengan pendapatan individu atau isi rumah antara RM2,500 hingga RM10,000.

 

Pembinaan perumahan berkenaan masih dijalankan di Tanah Rata dan Kampung Raja, sementara kawasan di Brinchang juga dikenal pasti untuk dijadikan tapak pembinaan PR1MA di Cameron Highlands.

 

PR1MA yang dilancarkan pada 2010, adalah projek perumahan berkualiti dan mampu milik buat golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dengan dibantu syarikat perumahan swasta. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.