Minat Boleh Tapi Perlu Peka Batas Agama, Nasihat Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Dato Siti Nurhaliza menasihati peminat-peminat yang begitu obses kepada mana-mana artis perlu lebih peka kepada batas agama.

 

Siti berkata demikian berhubung dengan video peminat bertudung dipeluk oleh anggota sebuah kumpulan Kpop yang mengadakan konsertnya di Malaysia baru-baru ini.

 

Video yang menunjukkan beberapa gadis negara ini yang dipeluk mesra dan dicium artis K-Pop dari Korea Selatan, B1A4 semasa sesi perjumpaan bersama peminat di KL Live pada Sabtu menjadi viral di media sosial.

 

Kata Siti, dalam situasi tersebut selain peminat, pihak penganjur juga harus lebih sensitif dengan program yang dianjurkan lebih-lebih lagi yang melibatkan peminat yang berhijab.

 

“Saya terkejut dengan perkara ini, tak salah meminati tetapi peminat harus peka dengan batas-batas sebagai seorang Islam bila bertemu artis pujaan.

 

Sepatutnya penganjur perlu awasi sensitiviti di negara ini. Ada budaya dan batas yang perlu mereka ambil tahu lebih-lebih lagi menganjurkan aktiviti pentas yang membabitkan peminat bertudung. Penganjur perlu terangkan kepada artis anjuran mereka, lebih-lebih lagi dari luar negara” kata Siti yang ditemui di majlis sambutan ulangtahunnya yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

 

Mengakui memahami rasa minat seseorang itu, namun beliau berharap agar sebagai gadis adalah lebih manis untuk menjaga tatasusila di mana pun berada.

 

“Saya faham, memang saya sendiri pernah bertemu peminat yang sangat obses dengan saya. Ada yang sampai menggigil dan menggeletar.

 

Cuma sebagai artis, saya sendiri akan menjaga batas lebih-lebih lagi melibatkan peminat lelaki,” tambah Siti.

 

Siti yang meraikan sambutan harijadinya yang ke 36 bersama keluarga, rakan media dan rakan-rakan artis pada Ahad, turut mengumumkan bahawa hadiah daripada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada tahun ini buat dirinya, akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.

 

“Saya sangat bersyukur apabila hasrat saya ini dipersetujui suami dan bersama-sama individu-individu lain kami telah berjaya mengumpulkan kutipan derma sebanyak RM310,000 untuk diberikan kepada tabung untuk mangsa banjir.

 

“Tiada apa yang menggembirakan saya apabila melihat kegembiraan terukir di wajah mangsa-mangsa banjir” umum Siti.

 

Sumbangan tersebut diserahkan kepada wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut hadir di majlis berkenaan.- AstroAwani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.