Keputusan Akhir Kes Bunuh Altantuya Diketahui Esok

Kuala Lumpur – Kes pembunuhan ngeri Altantuya Shaariibuu dijangka bakal berakhir esok apabila Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan sama ada membenarkan rayuan pendakwa terhadap pembebasan dua bekas komando polis yang didakwa atas jenayah it atau sebaliknya.

 

Panel 5 hakim, yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengar perbicaraan Jun lepas, akan menyampaikan keputusan esok.

 

Dua bekas komando itu adalah Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar.

 

Sebelum ini bukti di mahkamah mendedahkan Altantuya kemungkinan dibunuh peledak C4 atau dibunuh dahulu sebelum diletupkan pada 18 Oktober 2006 di pinggiran Shah Alam, lebih kurang 29km dari Kuala Lumpur.

 

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar selepas perbicaraan berjalan selama 159 hari.

 

Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 bagi membebaskan Azilah, 38, dan Sirul Azhar, 43, atas pertuduhan membunuh Altantuya, di antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi, hari berikut pada 2006.

 

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh kedua-dua anggota polis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia itu dan menjatuhi hukuman mati ke atas kedua-dua mereka.

 

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 51, yang dituduh bersuhabat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas (Mahkamah Tinggi) memutuskan pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadapnya.

 

Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.