Kelantan Perlukan Empangan Di Kawasan Ulu Kelantan

Kota Bharu – Empangan perlu dibina di kawasan Ulu Kelantan bagi menakung air hujan daripada terus memasuki sungai pada kadar yang tinggi hingga menyebabkan banjir.

Pembinaan empangan meskipun mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan dan melibatkan kos yang tinggi, tetapi cadangan ini perlu dilihat kerajaan dalam menangani berulangnya bencana banjir besar di Kelantan baru-baru ini.

Setakat ini, Kelantan hanya mempunyai sebuah empangan iaitu Empangan Pergau yang terletak merentasi Sungai Pergau, Jeli, kira-kira 70 km ke barat daya Kota Baharu.

Empangan baharu yang dicadangkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mungkin boleh dibina di Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri, Gua Musang bagi menakung air hujan lebat yang berlaku di kawasan pedalaman terutama di Gunung Gagau.

Sungai Lebir dan Sungai Galas bercantum di Kuala Krai menjadi Sungai Kelantan yang mengalir ke utara negeri ini iaitu melalui jajahan Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Kota Baharu menuju ke Laut China Selatan.

Analisis data paras air sungai utama (hydrograph) yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan mendapati peningkatan paras air akibat hujan lebat di kawasan Ulu Kelantan dari 17 Dis hingga 24 Dis menyebabkan kemuncak banjir pada 24 Dis.

Banjir terburuk itu bukan sahaja menyebabkan banyak kemusnahan harta benda malah memaksa lebih 104,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan.

Kemusnahan teruk termasuk banyak rumah hilang atau rosak serta infrastruktur terjejas dapat dilihat terutamanya di jajahan Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah.

Hujan lebat luar biasa itu mengakibatkan berlaku hakisan di kawasan pembukaan tanah untuk pertanian di Ulu Kelantan dan menyumbang kepada banjir lumpur yang teruk.

KADAR HUJAN SANGAT LEBAT

Bercakap kepada Bernama di sini, Pengarah JPS Kelantan Shahimi Sharif berkata pihaknya melihat kadar hujan sangat lebat dan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menyebabkan banjir besar melanda negeri ini.

Beliau berkata hujan lebat berterusan sejak 17 Dis berlaku di kawasan ulu sungai menyebabkan air melimpah ke hilir menjadikan banjir merebak ke seluruh kawasan tadahan.

Stesen menyukat hujan di Gunung Gagau, Gua Musang mencatatkan 507 mm hujan dalam sehari berbanding hanya 20 mm dicatatkan sehari sebelum tempoh berkenaan.

“Pada banjir 2004 kadar (hujan) yang tertinggi cuma 221 mm manakala pada 1967 (bah merah) dalam satu hari cuma 80 mm, tapi pada 2014 ini 507 mm satu hari,” katanya.

Beliau berkata air akibat hujan yang luar biasa itu mengalir ke Sungai Nenggiri, Sungai Lebir dan Sungai Galas sebelum memasuki Sungai Kelantan di Kuala Krai.

“Sebab itu air di Kuala Krai naik mendadak sebab sungai-sungai ini mengalir ke Sungai Kelantan malah di Kuala Krai itu sendiri pun hujan lebat iaitu 212 mm dalam tempoh satu hari. Ini berlaku serentak bermula dari 17 Dis hingga 24 Dis,” katanya.

Shahimi berkata paras bahaya Sungai Kelantan di Tangga Krai ialah 25.00 meter dan ketika kemuncak banjir, paras air yang direkodkan ialah 34.17 meter.

“Kedalaman banjir dari tebing Sungai Kelantan ke paras yang tertinggi ialah 9.17 meter, masa itu orang kalut pindah ada yang dari tingkat satu, naik tingkat dua, naik tingkat 3 dan tingkat 4 (air menengelamkan sehingga tingkat tiga bangunan sekolah kebangsaan Manek Urai Lama),” katanya.

Beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya banjir yang melanda Kelantan akibat limpahan air dari kawasan Terengganu termasuk dari Tasik Kenyir.

“Tidak ada air dari kawasan Terengganu atau Pahang masuk ke ulu sungai di negeri ini yang menyebabkan banjir melainkan hujan lebat berterusan di kawasan Ulu Kelantan,” katanya.

PEMBUKAAN TANAH PERTANIAN

Pembukaan tanah pertanian di kawasan Ulu Kelantan oleh segelintir peneroka yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa turut menyumbang kepada berlakunya banjir lumpur.

“Dia (peneroka) potong bukit dan biar kosong, bila hujan lebat adalah tanah runtuh dan hanyut ke sungai sebab itu kalau tengok di Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah malah sehingga Kota Baharu banyak lumpur,” katanya.

Beliau berkata banjir lumpur mungkin tidak akan berlaku sekiranya syarikat atau individu yang membuka tanah untuk pertanian mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian, JPS dan agensi lain yang berkaitan serta mengambil langkah mengelakkan hakisan.

Shahimi juga berkata hujan lebat yang berterusan lebih seminggu menyebabkan tanah di kawasan berkenaan sudah tepu dengan air dan tidak mampu untuk menyerap lebihan air akhirnya air mengalir memasuki sungai berkenaan.

“Tidak ada empangan di sini. Sungai Lebir tak mungkin dapat menakung air sebanyak itu akhirnya mengalir ke Kuala Krai,” katanya.

Beliau berkata JPS sudah membuat kajian di Sungai Lebir dan Nenggiri mesti ada empangan kerana apabila ada empangan air yang turun dari kawasan gunung dan bukit bukau boleh ditakung di empangan tersebut. Sungai Kelantan tidak mampu menampung air sebanyak itu sebab itu ia melimpah ke daratan,” katanya.

Beliau berkata pembinaan empangan itu merupakan cadangan jangka panjang kerana ia mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan dan membabitkan kos yang tinggi.

TINDAKAN LAIN UNTUK CEGAH BANJIR

Tindakan lain bagi menangani ancaman banjir itu ialah mendalamkan sungai, membina tebatan banjir di Sungai Kelantan, membuat lencongan air dari Sungai Kelantan ke Sungai Mulong dan Sungai Seribung di jajahan Kota Baharu untuk memasuki Sungai Pengkalan Datu dan terus ke Laut China Selatan.

Dalam masa sama penduduk terutama yang mendiami kawasan yang dilanda banjir mesti mengambil langkah perlu bagi sama-sama menangani ancaman fenomena alam itu termasuk beralih penempatan ke kawasan lebih tinggi atau mengubah suai struktur rumah supaya selamat.

Akhir sekali, orang ramai perlu mengambil berat laporan paras air sungai-sungai utama yang disediakan JPS melibatkan tiga peringkat iaitu waspada, amaran dan bahaya, kerana daripada laporan itu mereka boleh mengetahui kedudukan banjir semasa dan bersedia untuk berpindah secara terancang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.