Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang, Perak Dan Johor Menurun

Kuala Lumpur – Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Pahang, Perak dan Johor menurun tengah hari ini berbanding pagi tadi manakala di Kelantan kekal 2,366 orang.

Pahang mencatatkan penurunan kepada 5,184 orang berbanding 5,256 orang pagi tadi, manakala Perak berkurangan daripada 2,661 orang kepada 2,572 orang dan Johor berkurangan kepada 32 orang berbanding 63 orang.

Dengan ini, keseluruhan mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di empat negeri berkenaan pada tengah hari ini menurun kepada 10,154 orang daripada 10,346 orang pagi tadi.

Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata 29 pusat pemindahan masih dibuka dengan Pekan menampatkan seramai 2,675 orang, Kuantan (888), Maran (848), Temerloh (437), Rompin (262) dan Bera (47).

Sementara itu, laluan Bentong-Raub masih ditutup selepas berlaku hakisan teruk akibat arus deras di jambatan Kampung Baru Bentong.

Pengguna dinasihat menggunakan jalan alternatif Bentong-Lebuhraya Karak-Cinta Manis-Sertik-Mempaga atau Lebu-Raub atau Sertik-Kuala Krau.

Di PERAK, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata sehingga kini 14 pusat pemindahan masih dibuka dengan menempatkan seramai 1,891 orang di Perak Tengah, Hilir Perak (450), Manjung (155) dan Hulu Perak (76).

Di JOHOR, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor memaklumkan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat yang sebelum ini terputus hubungan kini sudah boleh digunakan semula. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.