Imej Wanita Bertudung Peluk Penyanyi K-pop Benar-Benar Mencalar Umat Islam – Ketua Pemuda PAS

Kuala Lumpur – Beberapa pimpinan PAS hari ini turut mezahirkan rasa kecewa terhadap aksi berpelukan dan bercium di hadapan khalayak ramai oleh gadis-gadis Melayu bersama artis K-pop dalam sebuah konsert di ibu negara petang semalam

 

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat berkata pihak yang melakukan perbuatan tersebut tidak belajar daripada musibah besar yang baru sahaja berlaku baru-baru ini.

 

“Masih tidak cukupkah musibah besar yang telah berlaku. Belumpun bekas-bekas sisa musibah terhapus manusia terus leka dalam kemaksiatan.

 

“Imej wanita bertudung memeluk penyanyi K-pop benar-benar mencalar hati dan perasaan umat Islam bahkan kemarahan ini melebihi kes program menyentuh anjing baru-baru ini,” katanya dalam entri Facebooknya di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata kerajaan perlu lebih serius dalam usaha untuk mendidik jiwa rakyat Malaysia sepertimana dengan penganjuran majlis qasidah sebelum ini.

Menurutnya, janganlah pada beberapa ketika kerajaan dilihat begitu teruja dengan majlis-majlis zikir namun pada ketika lain menganjurkan pesta-pesta maksiat.

 

“Ia sudah pastinya akan meruntuhkan semula segala batu asas yang baik yang telah cuba dibina,” ujarnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.