‘Gores Dan Menang’ Berleluasa

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Percaya atau tidak? Dalam tempoh tidak sampai sehari, mereka mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM600,000.

 

Mungkin ia sukar dipercayai tetapi itulah keuntungan diperoleh sindiket gores dan menang yang semakin berleluasa di Lembah Klang.

 

Sumber memberitahu, hampir setiap hari ada sahaja yang menjadi mangsa seolah-olah kegiatan haram itu tidak dapat dibanteras biarpun laporan sudah dibuat kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

 

“Apa yang membimbangkan sindiket dipercayai berselindung di sebalik nama sesebuah syarikat masih gagal dibanteras.

 

Walaupun dalam sesetengah kes, syarikat terbabit dikenakan tindakan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) tetapi mereka tetap juga beroperasi sehingga ia mewujudkan tanggapan sindiket berkenaan dilindungi oleh pihak tertentu,’’ kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Difahamkan, serbuan yang dilancarkan oleh KPDNKK dan polis ke atas syarikat yang terlibat hanya menghentikan sementara operasi mereka, apabila situasi kembali reda, mereka aktif semula dengan menggunakan nama syarikat yang berlainan.

 

Kata sumber itu, sindiket bukan sahaja mensasarkan warga emas dan wanita, malahan golongan profesional juga turut menjadi sasaran.

 

“Mereka kadangkala seperti ‘dipukau’ apabila dengan mudah menyerahkan ribuan ringgit kepada orang yang tidak dikenali apabila dikatakan telah memenangi barangan tertentu atau sejumlah wang selepas menggores kad ‘gores dan menang’,” katanya.

 

Selain itu, sindiket juga bijak mencari mangsa dengan memilih mereka yang dirasakan mempu­nyai banyak wang, mungkin dengan menunggu mangsa di bank-bank.

 

“Mereka dipercayai mengekori mangsa sehingga ke tempat yang sesuai sebelum menegur dan ke­mudiannya memperdayakan mang­­sa,” kata sumber tersebut. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.